Bola Sepak

Mahendran cuba nasib di Liga Turki

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Misi untuk melihat pemain muda negara menakluk dunia semakin hampir apabila terbaharu seorang lagi tonggak tempatan, Alex Mahendran berkelana ke Liga Turki.

Mahendran yang sebelum ini beraksi dengan Akademi Marbella City di Sepanyol dari 2018-2019 selain Bharat FC di divisyen dua Liga India berjaya meraih kontrak semusim dengan kelab Avcilar 1903 dan bakal menjadi tonggak utama kelab itu di mana dia adalah awang import kedua buat pasukan terbabit.

Jelas pemain berusia 22 tahun itu, walaupun kelab itu hanya beraksi di divisyen bawahan, tetapi peluang beraksi secara tetap dilihat lebih penting buatnya sekali gus berpeluang meraih minit permainan yang banyak dan mampu mematangkan aksinya.

"Saya tak kisah main di divisyen berapa kerana apa yang lebih penting, saya mahu menimba pengalaman terutama di luar negara.

"Tahap liga Turki sangat tinggi dan kelab-kelab utama di sini juga beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Uefa seperti Galatasaray dan Fenerbahce.

"Mungkin ini langkah pertama buat saya untuk membina nama dengan Avcilar 1903 dan berharap mampu memikat kelab-kelab lain apabila beraksi nanti," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, hampir 20 pemain muda negara berjaya menerima kontrak profesional dan diterima masuk beraksi bersama akademi serta pasukan pembangunan di beberapa negara di Eropah.

Untuk rekod, antara pemain yang masih kekal berkelana di luar negara adalah Allee Putra Azril bersama akademi di Sepanyol, FC Malaga City; Omar Raiyan Kama Azlan di Serbia dengan kelab, Red Star Belgrade; Owen Teo dengan kelab Croatia, NK Precko Zagreb serta ramai lagi.

Kontrak paling lumayan sudah pastinya milik bintang bola sepak negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin apabila meraih kontrak profesional selama lima musim bersama KV Kortrijk yang beraksi dalam Liga Belgium dengan tangga gaji sekitar RM25,000 hingga RM30,000 sebulan.

Selain di Eropah, pemain Malaysia turut mewarnai beberapa liga di Asia seperti Hadi Fayyadh di Jepun, Liridon Krasniqi di India dan beberapa pemain muda di Australia serta Wan Kuzain di Amerika Syarikat.

Disiarkan pada: October 14, 2021 @ 6:31pm
d