Bola Sepak

Salah hanya fokus trofi untuk Liverpool

Oleh AFP

London: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah mengakui dia sekarang ini fokus kepada membantu kelabnya untuk memenangi trofi berbanding kontrak baru yang masih belum menemui titik noktah.

Salah belum menandatangani penyambungan kontrak terkini bersama Liverpool, tatkala ia akan berakhir pada hujung musim 2022/23.

Terdapat laporan penyerang Mesir berusia 29 tahun itu menuntut kenaikan gaji yang setara dengan beberapa bintang Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kebiasaan Liverpool tidak memberikan kontrak lebih tinggi kepada pemain yang melebihi usia 30 tahun mencetuskan kemungkinan Salah akan meninggalkan Anfield.

Salah membuktikan dia sangat bernilai apabila memulakan musim ini dengan cemerlang apabila meledak sembilan gol daripada sembilan perlawanan.

Buat masa sekarang penyerang prolifik itu sedang memberi tumpuan untuk memastikan barisan Jurgen Klopp terus menghambat pendahulu EPL Chelsea selepas mengekalkan rekod tanpa kalah.

"Saya gembira selagi pasukan terus menang. Saya sentiasa akan berusaha, menjaringkan gol dan membantu pasukan menang, itu yang penting.

"Kami perlu sentiasa memberikan yang terbaik untuk menang dan saya fikir kami mempunyai kualiti untuk itu.

"Kami pasukan teratas, jadi kami perlu memberikan yang terbaik dan berusaha memenangi sesuatu. Saya percaya semua orang berfikiran sama.

"Itulah yang kami perlukan, hanya memfokuskan untuk menamatkan musim ini dengan memenangi kejuaraan," katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2021 @ 10:48am
d