Bola Sepak

Liverpool tumbangkan Atletico, Salah terus cemerlang

Oleh AFP

Madrid: Mohamed Salah terus mempamerkan aksi cemerlang apabila meledak dua gol ketika membantu menewaskan Atletico Madrid 3-2 yang beraksi dengan 10 pemain sekali gus menyaksikan Liverpool mendominasi Kumpulan B saingan Liga Juara-Juara.

Salah meletakkan Liverpool di depan apabila menjaringkan gol menarik di Wanda Metropolitano selepas melepasi tiga pertahanan Atletico dan ia adalah perlawanan kesembilan berturut-turut dia dapat menyumbang gol.

Naby Keita menambah gol kedua minit ke-13 namun Antoine Griezmann menyamakan kedudukan untuk Atletico apabila meledak dua gol sebelum berakhir babak pertama.

Griezmann kemudian di buang padang pada minit ke-52 selepas mengasari Roberto Firmino dan kekasaran dilakukan Mario Hermoso ke atas Diogo Jota menyaksikan Salah menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti minit ke-78.

"Tiga mata yang diperolehi adalah amat penting dan mereka melakukannya hari ini," kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

"Ia bukanlah aksi terbaik kami tetapi tetap satu langkah yang penting."

Klopp sebelum ini mengkritik corak permainan Atletico ketika kedua-dua pasukan bertemu tahun lalu.

"Apa yang saya katakan itu tidak penting. Ada kalanya saya suka, ada kalanya tidak. Saya menghormati mereka. Rasanya sudah kira-kira 10 tahun mereka adalah pasukan yang hebat."

Salah muncul penjaring terbanyak Liverpool di Liga Juara-Juara dengan 31 gol daripada 48 perlawanan sekali gus mengatasi rekod Steven Gerrard yang meledak 30 gol gol.

Walaupun bermain 10 orang, Atletico merasakan mereka boleh mendapatkan penalti lewat permainan apabila Luis Suarez dimasukkan dari bangku simpanan dan bersedia untuk mengambil penalti berdepan bekas kelabnya.

Sebaliknya pengadil, Daniel Siebert menyebabkan penyokong tuan rumah berang apabila membatalkan keputusannya selepas melihat rakaman semula.

Disiarkan pada: October 20, 2021 @ 8:02am
d