Bola Sepak

Evra pernah dicabul

Oleh AFP

London: Bekas pertahanan Perancis dan Manchester United, Patrice Evra berkata dia pernah menjadi mangsa cabul ketika remaja.

Dalam satu temubual untuk autobiografi terbarunya, Evra memberitahu The Times kejadian itu berlaku ketika dia masih bersekolah di usia 13 tahun.

Evra, 40, berkata perkara lebih sukar berbanding menceritakan kejadian itu dalam bukunya atau bercakap mengenainya pada satu temubual, ialah memberitahu ia kepada ibunya buat pertama kali.

"Sudah tentu hatinya kecewa." katanya kepada The Times.

"Ia saat yang sukar buat saya. Saya masih perlu menceritakannya kepada adik-beradik dan teman-teman rapat."

Evra berkata dia mengambil keputusan untuk menimbulkan kesedaran kepada orang awam dalam membantu kanak-kanak yang mungkin berdepan situasi sama.

"Saya tidak mahu orang berasa simpati." jelasnya.

"Ia keadaan yang sukar. Seorang ibu tidak menjangkakan akan mendengar perkara sebegini daripada anaknya sendiri... hanya kini selepas saya berusia 40 tahun baru saya memberitahunya. Dia sangat terkejut. Marah. Dia kata dia sangat kesal.

"Dia berkata: 'Jangan masukkannya dalam buku anda, ia peribadi Patrice,' tetapi saya membalasnya dengan berkata, ibu, ia bukan berkenaan saya, ia tentang kanak-kanak lain dan barulah dia faham," kata Evra.

Evra bagaimanapun tidak merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku itu.

Disiarkan pada: October 23, 2021 @ 10:31am
d