Bola Sepak

Tumpaskan Spurs, West Ham lonjak ke tangga keempat

Oleh AFP

London: West Ham melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 1-0 ke atas Tottenham.

Gol separuh masa kedua Michail Antonio membolehkan The Hammers mencatat kemenangan liga kali kedua berturut-turut dan Tottenham mula tumpas kali kedua minggu ini.

Spurs tumpas kepada Vitesse Arhem dalam saingan Liga Konferensi Europa Jumaat lalu dan sekali lagi gagal mempamerkan aksi mantap tatkala West Ham berjaya memintas mereka di kedudukan liga.

Turut mencatat kemenangan sebentar tadi ialah Leicester yang menumpaskan Brentford 2-1 untuk meneruskan rekod tanpa kalah dalam saingan liga sebanyak empat kali berturut-turut.

Leicester mendahului melalui rembatan jarak jauh Youri Tielemans pada minit ke-14.

Mathias Jorgensen berjaya melepasi dua kawalan pertahanan untuk menanduk masuk gol penyamaan Brentford pada minit ke-60.

James Maddison berjaya mengenepikan kritikan yang dilemparkan terhadapnya apabila menyumbat gol kemenangan Leicester pada minit ke-71 selepas menampan masuk hantaran Patson Daka.

Disiarkan pada: October 24, 2021 @ 11:22pm
d