Bola Sepak

Kedah belum selesa - Baddrol

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Ketua pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar menyifatkan perjalanan skuad ke suku akhir Piala Malaysia masih belum selamat meskipun meraih enam mata percuma susulan penarikan diri Negeri Sembilan FC selepas sebahagian besar pemain pasukan itu disahkan positif Covid-19.

Menurut Baddrol, pasukannya hanya akan berasa selesa sekiranya berjaya menewaskan Kelantan United FC terlebih dahulu pada 6 November depan sebelum berdepan perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Melaka United FC pada 9 November.

Ini kerana, selepas tewas kepada anak buah Zainal Abidin Hassan pada aksi kedua bulan lalu, Baddrol menganggap keputusan itu membuktikan apa sahaja boleh berlaku sekiranya mereka ambil mudah dalam baki dua perlawanan terakhir ini sambil menyifatkan enam mata percuma yang diberikan itu masih belum menjamin kedudukan pasukan.

Baddrol bagaimanapun tetap bersimpati dengan situasi yang menimpa skuad bimbingan K Devan ini dan berharap mereka yang dijangkiti wabak itu akan segera sembuh.

"Memang enam mata yang diberikan itu satu bonus buat kami sebab kami memang perlukan kemenangan ini selepas kalah dengan Melaka tempoh hari, dan kali ini dengan penarikan diri Negeri Sembilan memberi sedikit kelegaan kepada pasukan.

"Cuma ia tetap tidak akan menjamin apa-apa kerana masih ada dua perlawanan yang kena fokus dan kami pula ada rehat yang panjang lagi sebelum bertemu Kelantan United, momentum mesti lari sedikit dan sekarang kena sentiasa tingkatkan prestasi dalam latihan.

"Sebenarnya perjalanan ke suku akhir saya boleh katakan masih samar sebab yang penting kita kena menang dulu dengan Kelantan United, selepas itu baru kita akan nampak macam mana perjalanan seterusnya untuk layak." jelasnya.

Bercakap mengenai persiapan pasukan, pemain berusia 33 tahun ini tidak menolak momentum pasukan bertambah baik selepas berdepan tiga siri aksi persahabatan dan mereka akan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan selepas ini memandangkan KDA FC masih ada lebih kurang satu minggu untuk berdepan aksi sebenar pada 6 November depan.

KDA FC kini di tangga kedua Kumpulan C dengan tiga mata manakala Melaka United di tangga teratas dengan dua kemenangan berturut-turut.

Disiarkan pada: October 27, 2021 @ 3:10pm
d