Bola Sepak

West Ham akhiri penguasaan Man City di Piala Liga

Oleh AFP

London: West Ham menamatkan penguasaan Manchester City selama empat tahun sebagai penyandang juara Piala Liga ketika Liverpool dan Tottenham turut menempah tempat ke suku akhir.

Rekod cemerlang City dalam pertandingan itu berakhir di Stadium London ketika skuad Hammers melakar kemenangan 5-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terlepas rentetan peluang terbaik menjaringkan gol dalam aksi yang terikat 0-0.

Phil Foden pemain tunggal yang gagal menyempurnakan penalti ketika Mark Noble, Jarrod Bowen, Craig Dawson, Aaron Cresswell dan Said Benrahma kesemuanya meledak gol buat skuad kendalian David Moyes.

"Tiada yang kekal," kata bos City Pep Guardiola.

"Kami berjuang bersungguh-sungguh untuk menang dan menang pertandingan ini.

"Empat kali berturut-turut adalah pencapaian menakjubkan dan musim depan kami akan kembali mencuba serta memenanginya semula."

Nathan Ake, John Stones, Ilkay Gundogan dan Raheem Sterling kesemuanya terlepas peluang terbaik untuk City meneruskan rekod 21 perlawanan berturut-turut tanpa kalah dalam pertandingan itu.

Sementara itu, Liverpool dilihat tidak akan melepaskan peluang memenangi Piala Liga buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun, tetapi terpaksa bangkit daripada permulaan buruk sebelum menang 2-0 di Preston.

Skuad Reds menjaringkan 30 gol dalam lapan perlawanan di tempat lawan musim ini.

"Sebagai satu pasukan kami beraksi baik, tetapi secara individu saya lihat beberapa persembahan menarik dan ia sangat OK," kata Klopp.

"Ia mengenai melepasi halangan ke pusingan seterusnya, itu apa yang kami lakukan. Ia lebih sukar selepas gagal memanfaatkan 11 peluang yang diperolehi."

Usaha Tottenham untuk meraih trofi pertama sejak mereka memenangi Piala Liga pada 2008 turut berada di landasan tepat ketika skuad kendalian Nuno Espirito Santo mengatasi Burnley, 1-0 menerusi jaringan tunggal Lucas Moura.

Dalam aksi lain Leicester yang terikat 2-2 berdepan Brighton mara menerusi penentuan penalti apabila menang 4-2 manakala Brentford turut menempah tempat dalam kelompok lapan terakhir selepas mengatasi Stoke, 2-1.

Disiarkan pada: October 28, 2021 @ 7:53am
d