Bola Sepak

Maniam puji aksi pemain benam Kelantan FC

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali Petaling Jaya City FC (PJ City), P Maniam memuji aksi kemas anak buahnya ketika mudah membenam Kelantan FC 3-1 dalam aksi ketiga Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, malam tadi.

Maniam yang pernah membimbing skuad Red Giants dari 2016-2018 berkata, pemainnya menunjukkan aksi tersusun sepanjang 45 minit pertama.

Namun, sedikit kelalaian di khususnya pada 10 minit terakhir babak pertama menyaksikan skuad The Red Warriors berjaya bangkit merapatkan kedudukan selepas ketinggalan dengan dua gol.

"Separuh masa pertama kita boleh nampak kita kawal permainan, kita cipta peluang dan serangan balas kita juga merbahaya. Begitu juga Kelantan yang datang untuk menyerang serta mencipta gerakan.

"Kita mendahului 2-0 dan kemudian kita dihukum dengan gol pertama lawan atas kelalaian kita, dan separuh masa kedua kita kembali dan berjaya menjaringkan gol ketiga dan pemain nampak lebih yakin selepas gol itu.

"Saya bangga dengan pemain PJ City, di mana pemain beri prestasi yang cukup lengkap begitu bagus," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi itu, tiga gol skuad The Phoenix diperolehi menerusi Darren Lok yang meledak dua gol minit ke-10 dan 81 sementara R Kogileswaran pula di minit 19.

Gol saguhati pelawat dijaringkan pada minit 36 hasil sepakan percuma Christos Intzidis yang tepat ke sasaran untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Sementara itu, jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya mahu pemainnya memperbaiki kelemahan terutama dari aspek penyudah yang jelas agak tumpul.

Malah, beberapa kesilapan mudah dalam aksi dengan PJ City harus dielakkan untuk baki tiga aksi selepas ini.

"Saya berpuas hati dengan pemain-pemain saya cuma kita melakukan kesilapan-kesilapan yang membawa padah kepada pasukan.

"Pada saya tumpuan pertama sekali memperbetulkan kita punya tempoh permainan kita, dan juga kalau kita nak menang perlawanan dah tentu bahagian penyerang kita kena lebih tajam. Itu dua aspek yang saya akan tekankan ketika kita balik ke Kelantan nanti," kata bekas pemain Negeri Sembilan dan Angkatan Tentera Malaysia itu.

Selepas ini, kedua-dua pasukan akan bertembung lagi dengan kali ini Kelantan bakal menanti kunjungan PJ City di Kota Bharu, Selasa ini.

PJ City kini di tangga kedua Kumpulan D dengan empat mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT) sembilan mata, diikuti Sabah FC (dua mata) dan Kelantan di tangga keempat (satu mata).

Disiarkan pada: October 30, 2021 @ 2:43pm
d