Bola Sepak

Melaka mahu elak jumpa JDT

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Melaka United (MU) berazam mempertahankan kedudukan teratas kumpulan C saingan Piala Malaysia menjelang aksi terakhir berdepan Kedah Darul Aman (KDA) di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam esok.

Pengurus pasukan, Muhammad Akram Abdullah berkata, pemain sudah pasti enggan melepaskan peluang untuk mempertahankan kedudukan terbabit kerana ia penting pada saingan suku akhir kelak.

Katanya, mereka hanya perlu seri namun misi kutipan tiga mata tetap menjadi buruan pasukan. Justeru dia mahu semua pemain mematuhi arahan jurulatih Zainal Abidin Hassan yang sudah mengatur strategi untuk memerangkap lawan.

''Apapun selagi 90 minit belum berakhir perjuangan pasukan juga tidak terhenti kerana laluan tetap sukar. KDA juga mahu memintas kami kerana kemenangan buat mereka membolehkan mengelak berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di suku akhir. Begitu juga kepada Melaka yang mahu kekal dengan kedudukan teratas kumpulan,"katanya.

Baginya, kemenangan 3-1 ke atas lawan di Alor Setar pada pusingan pertama menjadi panduan buat pasukan kali ini. Malah jika persembahan sama atau lebih baik sudah pasti mampu untuk merealisasikan hasrat pasukan muncul juara kumpulan.

Sementara itu, pemain pertahanan dan tengah pasukan itu, Hasbullah Abu Bakar berkata, tekadnya untuk membantu pasukan muncul juara kumpulan C.

Katanya, walaupun ujian berliku namun dia yakin pemain akan memberikan yang terbaik dalam perlawanan terbabit.

Pemain pinjaman dari JDT terbabit juga berazam meletakkan Melaka ke pencapaian terbaik musim ini.

Disiarkan pada: November 8, 2021 @ 5:58pm
d