Bola Sepak

Harimau Malaya batal aksi persahabatan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Waktu yang terlalu suntuk dengan jadual begitu padat menyebabkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membatalkan hasrat mengadakan perlawanan persahabatan hujung bulan ini.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, skuad Harimau Malaya hanya mempunyai tempoh tidak sampai seminggu untuk membuat persediaan berdasarkan final Piala Malaysia bakal berlangsung pada 30 November depan.

Beliau berkata, walaupun perlawanan persahabatan penting dalam mempersiapkan barisan pemain yang mantap, pada masa ini perkara terbabit terpaksa dilupakan. Katanya, FAM percaya pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mempunyai perancangan jitu dalam usaha mencari keserasian walaupun berdepan dengan tempoh persediaan cukup terhad.

"Jika kita lihat sekarang ini saingan Piala Malaysia masih lagi berlangsung dengan final dijangka pada 30 November sebelum pasukan berlepas untuk mengharungi perlawanan Piala Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bermula 5 Disember. "Sudah tentu masa agak singkat kerana mungkin mempunyai tiga atau empat hari saja untuk mengumpul pemain dan melakukan latihan. Pada masa sekarang ini boleh dikatakan persediaan cukup terhad namun percaya kemampuan pemain dan barisan kejurulatihan untuk menangani situasi itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro. Berdasarkan jadual Piala Malaysia yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia, pasukan negara akan berkumpul selepas tamat saingan separuh akhir Piala Malaysia pada 26 November.

Namun, pemain daripada kelab yang layak ke final Piala Malaysia pula akan menyertai kem latihan pusat selepas 30 November.

Disiarkan pada: November 8, 2021 @ 9:25pm
d