Bola Sepak

Sepanyol hampiri Piala Dunia

Oleh AFP

London: Sepanyol memperoleh peluang terbaik menjelang Piala Dunia di Qatar tahun depan apabila kemenangan 1-0 ke atas Greece serta kekalahan mengejut 0-2 Sweden kepada Georgia meletakkan skuad bimbingan Luis Enrique semakin hampir untuk layak ke kejohanan berprestij itu.

Sepakan penalti Pablo Sarabia sudah mencukupi untuk La Roja meraih tiga mata penuh di Athens dan menduduki tangga teratas Kumpulan B mengatasi Sweden menjelang pertemuan antara kedua-dua pasukan itu di Seville, Isnin ini.

"Sudah pasti saya rasa kami mampu layak ke Piala Dunia pada Isnin ini tetapi saya sudah menjangkakannya sejak kami berada di tempat kedua peringkat kumpulan," kata Enrique.

"Kami beraksi menentang pasukan yang bagus dan secara teorinya akan mempamerkan corak menyerang apabila bertemu kami."

Di sebalik kehadiran Zlatan Ibrahimovic dan bintang sedang meningkat naik, Alexander Isak di barisan depan, Sweden dikejutkan dengan dua gol pada babak kedua menerusi sumbangan Khvicha Kvaratskhelia di Tblisi.

Sementara itu Cristiano Ronaldo gagal memberikan impak kepada Portugal apabila mereka sekadar seri 0-0 ketika bertemu Ireland di Dublin dengan Pepe dilayangkan kad merah pada lewat permainan.

Pepe menerima kad merah kali ke-14 sepanjang kariernya lapan minit sebelum tamat perlawanan selepas mengasari Callum Robinson.

Ireland tewas kepada Luxembourg dan seri ketika bertemu Azerbaijan di halaman sendiri pada perlawanan sebelum ini sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk layak ke Piala Dunia.

Disiarkan pada: November 12, 2021 @ 7:08am
d