Bola Sepak

Jerman 'mengamuk' belasah Liechtenstein

Oleh AFP

Berlin: Hansi Flick muncul jurulatih pertama memenangi enam perlawanan pertamanya sejak membimbing Jerman selepas anak buahnya membelasah Liechtenstein 9-0 pada kempen kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.

Meskipun sudah meraih tiket Piala Dunia di Qatar tahun depan, Jerman masih bernafsu membelasah pasukan tercorot Kumpulan J itu sekali gus menyaksikan Flick meraih kemenangan keenam berturut-turut sejak mengambil alih tugas selaku jurulatih, Ogos lalu.

Rekod sebelum ini dipegang oleh Joachim Loew yang membantu pasukannya meraih lima kemenangan berturut-turut sebelum seri bertemu Cyprus pada 2006.

Loew yang berundur awal tahun ini selepas 15 tahun membimbing pasukan kebangsaan menyaksikan perlawanan itu di Wolfsburg.

"Saya gembira kerana kami dapat menjaringkan sembilan gol untuk Loew," kata Flick kepada stesen penyiar RTL.

Jerman beraksi tanpa beberapa pemain utama selepas pemain pertahanan, Niklas Suele didapati positif Covid-19 awal minggu ini dan Joshua Kimmich serta Jamal Musiala pula menjalani kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun tuan rumah masih mampu mengatasi pelawat bermula seawal separuh masa pertama.

Pemain Liechtenstein, Jens Hofer dibuang padang selepas sembilan minit permainan kerana mengasari Leon Goretzka.

Ilkay Gundogan menyempurnakan sepasukan penalti sebelum Jerman meraih tiga gol dalam tempoh empat minit untuk kedudukan semasa 4-0.

Ia bermula apabila Daniel Kaufmann menjaringkan gol ke gawang sendiri sebelum Leroy Sane dan Marco Reus turut mencetak gol selepas 25 minit permainan.

Sane menambah satu lagi gol pada babak kedua sekali gus gol kelima Jerman sebelum Ridle Baku menambah gol keenam.

Thomas Mueller menambah derita Liechtenstein dengan meledak dua gol lagi minit ke-76 dan 86 sebelum Maximilian Goeppel menjaringkan gol ke gawang sendiri minit ke-89.

Disiarkan pada: November 12, 2021 @ 7:38am
d