Bola Sepak

Markless Komii lakar sejarah juara bola sepak pantai AFF

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Wakil negara, Markless Komii dari Terengganu melakar kejutan terbesar apabila muncul juara Kejohanan Bolasepak Pantai AFF yang berlangsung di Pattaya Beach, Chonburi, Thailand semalam.

Pada aksi final yang mendebarkan itu, pemain skuad kebangsaan terpaksa 'mandi peluh' mengerah kudrat sebelum berjaya menumpaskan tuan rumah, Thailand B dengan keputusan 5-3 pada aksi yang berlarutan hingga ke masa tambahan selepas kedudukan masa sebenar terikat 3-3.

Malah lebih manis penyerang Harimau Malaya, Mohamad Norazman A Bakar muncul penjaring terbanyak dengan meledak enam jaringan sepanjang kejohanan yang bermula 7 November itu manakala kapten, Mohd Zaharim Mohd Yusof dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

Jurulatih skuad negara, Wan Adremy Indera Wan Adnan berkata, kejayaan menumbangkan musuh tradisi itu begitu membanggakan lebih-lebih lagi skuad itu hanya berlatih selama empat hari sebelum bertolak ke Thailand.

Tambah beliau, walaupun pasukan bimbingannya hadir dengan serba kekurangan, tetapi itu semua bukan penghalang buat anak buahnya menghadiahkan kejayaan buat pasukan Harimau Malaya di negara jiran.

"Walaupun hanya empat hari menjalani latihan bersama dalam serba kekurangan, mereka bermain dengan semangat melawan yang tinggi dan kental sehingga muncul juara.

"Kejayaan ini sesuatu yang luar biasa buat pasukan di pentas Piala AFF itu, saya begitu kagum dengan pemain yang tidak berputus asa dan berjuang sehingga ke titisan terakhir sehingga berjaya membawa pulang kemenangan walaupun begitu sukar beraksi menentang pasukan Thailand pada pentas final lebih-lebih lagi bermain di tempat mereka.

"Terima kasih tidak terhingga juga buat semua peminat yang berterusan berdoa dan memberikan semangat yang padu kepada kami walaupun dari jauh, kejayaan ini juga hadiah kepada peminat dan negara serta negeri di pentas itu," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Pada aksi final itu, pasukan kebangsaan ketinggalan 0-1 pada babak pertama sebelum bangkit mendahului 2-1 pada babak kedua dan terikat 3-3 pada masa sebenar sehingga perlawanan ditentukan sehingga ke masa tambahan.

Kecemerlangan penjaga gol, Abdul Harith Iskandar Ibrahim yang banyak menggagalkan usaha pasukan tuan rumah untuk memburu jaringan sehingga lawan terpaksa akur tewas 5-3 di bumi sendiri.

Selain Mohamad Norazman, Mohd Zaharim dan Harith Iskandar, pasukan muda itu turut dibarisi Muhammad Qushairi Ashari, Mohd Riduwan Mohd Noor, Mohamad Rizaudin Awang Long, Muhammad Ashrey Mat Ghani, Wan Muhammad Syarif Abd Manan, Mohamad Fikrullah Mohammad, Muhammad Zulhairi Ismail, Muhammad Fitrah Mohamad dan Mohd Hasrol Ali.

Disiarkan pada: November 12, 2021 @ 2:24pm
d