Bola Sepak

Argentina sah tiket ke Qatar

Oleh AFP

Montevideo: Argentina menyertai Brazil ke Piala Dunia di Qatar tahun depan walaupun kedua-dua gergasi Amerika Selatan itu seri 0-0 dalam aksi kelayakan di San Juan pagi ini.

Perlawanan lain menyaksikan Uruguay tewas 0-3 kepada Bolivia dan Ecuador mengatasi Chile 2-0 sekali gus memastikan Argentina yang tidak tewas 27 perlawanan meraih tiket automatik dengan hanya dua lagi tempat menjadi rebutan berbaki empat perlawanan.

Ia tahun yang cemerlang buat Argentina dan Lionel Messi yang menjuarai Copa Amerika ke-15 pada Julai lalu selepas menewaskan Brazil 1-0 di Stadium Maracana selain kali ke-13 berturut-turut Argentina mara ke Piala Dunia dan hanya sekali gagal layak ketika pusingan akhir 1970 di Mexico.

Brazil terlebih awal mara selepas menewaskan Colombia 1-0 pada Jumaat lalu. Ecuador dijangka menyertai kedua-dua gergasi benua itu selepas menduduki tangga ketiga dengan kelebihan enam mata di depan Colombia dengan hanya baki empat perlawanan.

Tetapi perebutan tiket automatik keempat lebih sengit selepas lima pasukan hanya dipisahkan dua mata. Hanya Venezuela yang menduduki tempat tercorot dalam saingan 10 pasukan sudah boleh melupakan hasrat ke Qatar.

Disiarkan pada: November 17, 2021 @ 11:04am
d