Bola Sepak

Liverpool ujian sebenar Arsenal

Oleh AFP

London: Liverpool akan memberikan ujian sebenar kepada Arsenal apabila pasukan yang mengejar gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menanti kehadiran pasukan sedang meningkat kendalian Mikel Arteta, awal pagi Ahad.

Sejak tewas 0-5 kepada Manchester City pada Ogos lalu, Arsenal secara mengejut kembali sebagai pasukan dengan prestasi terbaik dalam EPL.

Kekalahan itu mencetuskan gesaan agar bos Gunners, Mikel Arteta dipecat namun kritikan itu dibalas dengan lapan perlawanan tanpa kalah dalam liga.

Malah pendahulu liga, Chelsea tidak memungut mata dalam tempoh berkenaan seperti Arsenal yang menang enam kali dan seri dua kali untuk mendaki ke kedudukan kelima liga.

Dibantu kecemerlangan pemain tengah England, Emile Smith Rowe dan Arteta yang mengubah kerapuhan pertahanan, Arsenal mengimpikan untuk kembali ke Liga Juara-Juara menerusi kedudukan empat teratas.

Kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang kembali mendapatkan gol dan 'mood' pemain itu menambah keyakinan pasukan.

"Saya kapten paling tenang dalam liga, mungkin di dunia!" kata Aubameyang.

"Sebenarnya saya cuba menjadi contoh. Saya rasa ia paling penting jika menjadi kapten."

Disiarkan pada: November 19, 2021 @ 2:26pm
d