Bola Sepak

Tiada penyokong, tiada masalah

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Fokus dan tumpuan pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) tidak terganggu biarpun terpaksa beraksi tanpa 'pemain ke-12' dalam aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia menentang Melaka United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Isnin ini.

Jelas ketua pasukan, Paulo Josue, dia dan rakan sepasukan terpaksa menerima keputusan yang sudah diputuskan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan hati terbuka selepas segelintir penyokong menceroboh masuk ke padang yang nyata melanggar peraturan pertandingan.

Begitupun, dia tidak memandang perkara itu sebagai halangan buat skuad The City Boys untuk memastikan kemenangan mampu diraih pada pertemuan pertama itu nanti.

"Sepanjang musim ini pun kami sebenarnya bermain tanpa penyokong disebabkan pandemik Covid-19 namun kami tetap berjaya beri cabaran bermakna dalam saingan Liga Super musim ini.

"Jadi tidak ada masalah buat kami di mana kami sudah biasa dengan suasana itu namun jika adanya penyokong ia sebenarnya menaikkan sedikit moral pemain-pemain.

"Tapi kami tetap akan turun dengan motivasi tinggi dan akan berusaha mencari kemenangan sebelum turun sekali lagi di Melaka pula," katanya yang juga antara watak penting disebalik kebangkitan KL City dalam kancah bola sepak tempatan ketika ini.

Mengulas mengenai skuad Hang Tuah, Josue yang berasal dari Brazil mengakui peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50.

"Pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan keluar sebagai pemenang. Kelebihan main di tempat sendiri harus dimanfaatkan sebaiknya dan rekod di KL sepanjang musim ini agak cemerlang.

"Kami mahu teruskan momentum positif itu dan harap dapat membawa bekalan selesa sebelum bertandang ke tempat lawan nanti.

"Apapun Melaka cukup bahaya terutama di bahagian sayap kiri dan kanan, dan kami harus waspada sepanjang aksi itu nanti," katanya yang sudah merekodkan keseluruhan 29 gol sepanjang bersama KL City sejak 2017 lalu.

Disiarkan pada: November 20, 2021 @ 7:15pm
d