Bola Sepak

KDA FC mahu teruskan khidmat Aidil Sharin

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Peluang cerah menanti jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak untuk kekal bersama skuad Hijau Kuning pada saingan Liga Malaysia musim depan.

Rekod cemerlang yang dihasilkan sepanjang tiga tahun bersama Kedah sejak 2019 termasuk merangkul Juara Piala FA musim itu dan kedudukan kedua Liga Super musim ini pastinya menjadi sandaran terbaik buat jurulatih itu untuk memperkemaskan lagi pasukan pada musim depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali, khidmat jurulatih kelahiran Singapura itu sememangnya ditagih Kedah dan pihak KDA FC sudah menawarkan tempat baginya untuk terus menerajui skuad Hijau Kuning sekali gus melancarkan rombakan pasukan lebih baik bagi meneruskan saingan yang mereka harapkan pada musim depan.

"InsyaAllah beliau akan bersama kita...dan kita menyatakan hasrat mahu mengikat beliau untuk musim depan sebelum ini, dan kita hanya menunggu kata putus darinya sahaja.

"Memang khidmat beliau masih diperlukan bagi meneruskan perjuangan pasukan Kedah yang perlu melalui saingan lebih sengit pada musim depan.

"Jadi kami perlukan sedikit masa lagi untuk mengumumkan kedudukan yang dirancang itu dan pada masa ini semua perancangan untuk musim depan lebih 80% peratus dilengkapkan.

Menyentuh mengenai pemain import pula, Khamal turut memaklumkan kekuatan di ruang tengah bakal diisi oleh dua pemain yang sudah berpengalaman dalam Liga Malaysia.

"Dua pemain import yang dikenali ramai itu menunjukkan kemampuan masing-masing dengan cukup hebat dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia setakat ini.

"Kehadiran dua pemain import berkenaan pada musim depan juga diyakini dapat membentuk penguasaan yang lebih baik berbanding musim 2021 ini." katanya.

Terdapat cadangan dikalangan penyokong Kedah di laman media sosial baru-baru ini yang mahu KDA FC mencari import yang lebih kreatif dan berkeupayaan dalam situasi kawalan bola bagi mengukuhkan ruang tengah sekali gus melancarkan gerakan serangan.

"Kita mahu pastikan dua import di ruang tengah yang akan dibawa masuk ini akan melancarkan lagi gerakan serangan yang lebih padu untuk saingan Liga Malaysia dan Piala AFC untuk musim depan.

"Kami sedar dengan kemampuan yang ada pada pasukan musim ini, namun kami tidak duduk sahaja malah terus bekerja keras merancang dan mengatur strategi untuk pasukan bagi memastikan kemampuan KDA FC terus meningkat demi mencapai objektif dan sasaran baharu pada musim depan." katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2021 @ 2:09pm
d