Bola Sepak

AFC puas hati persiapan Qatar

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Berbaki setahun sebelum sepak mula Piala Dunia 2022 di Qatar, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berpuas hati dengan persiapan yang disifatkan sebagai sempurna, menjelang edisi kedua kejohanan berprestij itu dianjurkan di benua Asia.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, yang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC kelapan bagi penggal 2019-2023 di Manama, Bahrain, semalam berkata, konfederasi itu optimis edisi yang akan bermula 21 November tahun depan akan mencapai kejayaan.

Katanya, semalam bermulalah kira detik setahun menjelang sepak mula di Qatar, edisi kedua Piala Dunia dianjurkan di benua Asia selepas Korea Selatan dan Jepun pada 2002.

"Qatar sudah sedia dari semua sudut, khususnya venue perlawanan yang siap sepenuhnya. Persiapan Qatar layak dipuji kerana segala-galanya sudah siap setahun awal," katanya selaku ahli jawatankuasa eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman Ibrahim Al Khalifa dan turut disertai Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.

Disiarkan pada: November 22, 2021 @ 10:19pm
d