Bola Sepak

Bergson penyelamat JDT

Oleh Zaid Salim

Kuala Nerus: Terengganu FC (TFC) memikul tugas berat apabila sekadar seri 1-1 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Keputusan itu membolehkan JDT membawa pulang bekalan satu gol berharga untuk menjadi pasukan pilihan menjelang saingan timbal balik, Jumaat ini.

Dalam perlawanan disaksikan 20,000 penonton itu, TFC terlebih dahulu di depan menerusi tandukan cantik Jordan Mintah berpunca umpanan Lee Tuck pada minit kelapan.

JDT nyaris menyamakan kedudukan apabila rembatan Bergson Da Silva pada minit ke-11 terkena tiang sebelum percubaan susulan Gonzalo Cabrera tersasar ke sebelah tepi.

Skuad Harimau Selatan terus mengasak hebat kubu tuan rumah namun penjaga gol TFC, Suhaimi Hussin menepis rembatan padu Arif Aiman Hanapi pada minit ke-26.

Peluang terbaik JDT menjelma pada minit ke-41 namun peluang satu lawan satu gagal disudahkan Bergson untuk kedudukan 1-0 kekal pada babak pertama.

Memasuki babak kedua, JDT terus memburu jaringan dan berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-51 menerusi Bergson yang bijak menghukum kesilapan pemain TFC dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: November 22, 2021 @ 11:24pm
d