Bola Sepak

Aksi Dortmund tanpa Haaland, Hummels

Oleh AFP

Berlin: Borussia Dortmund dijangka beraksi tanpa dua tonggak utama Mats Hummels dan Erling Braut Haaland di Portugal awal pagi Khamis ini bagi aksi penentuan Kumpulan C Liga Juara-Juara berdepan Sporting Lisbon.

Mengumpul sama mata berbaki dua perlawanan peringkat kumpulan, Sporting dan Dortmund akan bertemu dalam pertembungan yang akan menentukan pasukan mana akan menyertai pendahulu kumpulan, Ajax ke peringkat kalah mati.

Bagaimanapun Dortmund kehilangan dua daripada pemain terbaik mereka ketika mereka cuba kembali mencari jalan meneruskan saingan di Liga Juara-Juara selepas dua kekalahan berturut-turut.

Pertahanan veteran, Hummels digantung selepas dibuang padang secara kontroversi ketika Dortmund tewas 3-1 kepada Ajax tiga minggu lalu.

Kelab berkata mereka akan merayu terhadap kad merah itu tetapi jurulatih, Marco Rose mengakui minggu lalu dia tidak menjangkakan pemenang Piala Dunia 2014 itu akan dapat bermain.

"Kita semua tahu Mats digantung di Lisbon," katanya sambil memberi bayangan Dan-Axel Zagadou akan mengambil alih tugas di pertahanan tengah.

Sementara itu, Haaland tersisih sejak empat minggu lalu kerana kecederaan pinggul.

Dortmund berharap penyerang Norway yang meledak sembilan gol dalam enam penampilan pada saingan liga musim ini, akan dapat beraksi berdepan pendahulu Bundesliga, Bayern Munich pada 4 Disember ini.

Disiarkan pada: November 23, 2021 @ 11:57am
d