Bola Sepak

Layangan tiga kad kuning bukti pengadil 'neutral'

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan menyebelahi mana-mana pengadil yang didapati gagal mengadili perlawanan Liga Malaysia (Liga M) dengan sebaiknya.

Sebaliknya, tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan-peraturan sedia ada bagi memastikan imej pengadil sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, ia termasuk pengadil yang mengadili aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, semalam.

Katanya, berdasarkan laporan terperinci disediakan pengadil penilai mendapati Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah yang mengendalikan aksi itu bertindak 'neutral' dan tidak menyebelahi mana-mana pasukan.

Jelasnya, tiga kad kuning dilayangkan Tuan Mohd Yassin membuktikan pengadil bertaraf Fifa itu tidak 'memilih bulu' dengan tetap mengenakan tindakan ke atas pemain JDT.

"Saya mengikut (membaca) laporan pengadil, bila saya tengok laporan itu pagi tadi, saya dapat tahu iaitu tiga kad kuning ada dilayangkan kepada kelab JDT.

"Tiga (kad) dah layang, jadi untuk saya dan FAM kita ikut apa penilaian tulis itu saja. Kalau netizen kritik secara konstruktif semua saya terima, di mana kita boleh perbaiki (mutu pengadilan), tak ada masalah.

"Tiga kad kuning dan pengadil selalunya 'neutral'. Kita ikut undang-undang pertandingan yang ditetapkan Fifa, kalau pengadil salah, memang pihak FAM kita akan hukum pengadil," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

Terdahulu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan penyokong tempatan mengkritik mutu pengadilan yang dilabel teruk ketika aksi antara Terengganu dan JDT.

Jelas Sivasundaram lagi, sepanjang musim ini isu pengadil boleh dianggap kes terpencil apabila hanya sembilan peratus aduan direkodkan.

"Dalam liga (Liga Super dan Liga Perdana) 132 perlawanan dah habis, saya baru dapat sembilan peratus (aduan). Jadi mana-mana yang kita boleh perbaiki kita akan perbaiki.

"Sebab kita ada bahagian pembangunan (pengadil) yang kita akan rujuk mereka kepada bahagian pembangunan. Jadi saya terima kritikan, tak ada masalah dan baru kita boleh meningkat," katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2021 @ 5:52pm
d