Bola Sepak

FAM perhalusi penggunaan VAR

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Penggunaan video bantuan pengadil (VAR) sememangnya sedang diperhalusi untuk digunakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram, badan induk bola sepak tempatan itu sentiasa bersedia untuk meningkatkan kualiti dan mutu liga tempatan khususnya dengan penggunaan VAR.

Katanya, FAM sedang mengkaji secara terperinci berkenaan VAR yang menelan belanja cukup tinggi sekitar RM18 juta ke RM20 juta.

Malah ujarnya, masalah pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini turut memberi kesan selain capaian internet yang laju di setiap venue perlu disediakan.

"VAR ini, memang kita buat kajian dan difahamkan kita perlukan RM18 juta ke RM20 juta untuk menggunakan teknologi ini.

"Oleh itu, kita nak tengok dari segi kemampuan kewangan kita pula sekarang masalah Covid-19 di negara kita.

"Selain itu, kita juga nak tengok keadaan internet di stadium-stadium yang akan menggunakan teknologi VAR. Semua itu masih dalam kajian kita," katanya.

Kelmarin, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui sudah tiba masanya untuk saingan Liga M menggunakan VAR selepas prestasi buruk yang dipamerkan pengadil tempatan sepanjang musim ini.

Malah, dua negara jiran tetangga iaitu Thailand dan Indonesia dilaporkan sudah menggunakan sistem VAR dalam saingan liga masing-masing bagi mengelak sebarang keputusan kontroversi daripada pengadil perlawanan.

Disiarkan pada: November 24, 2021 @ 3:04pm
d