Bola Sepak

Pengadil perlu tingkatkan kemahiran diri

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kursus atau kem meningkatkan kemahiran dan pembelajaran kemahiran baharu adalah dua bentuk perkara yang boleh ditingkat kepada pengadil bola sepak di negara ini selepas beberapa keputusan kontroversi dipertikaikan peminat bola sepak tempatan.

Pemerhati bola sepak, Mohd Sadek Mustafa berkata, pandemik Covid-19 yang menyebabkan saingan Liga Malaysia (Liga M) ditangguhkan beberapa kali antara punca mengapa kemahiran pengadil tempatan tidak meningkat.

Katanya, ekoran kekurangan pendedahan yang maksimum dalam liga tempatan, risiko untuk melihat pengadil melakukan kesilapan dalam membuat keputusan akan berlaku sekali gus mengundang kritikan dari penyokong dan netizen di laman sosial.

"Perlu dititik beratkan dua perkara iaitu peningkatan kemahiran dan pembelajaran kemahiran baharu di kalangan pengadil kita supaya mereka tidak 'berkarat'.

"Ialah, selepas pandemik yang membuatkan liga kita tertangguh selain jumlah perlawanan yang terhad dan berkurangan, sudah tentu sedikit sebanyak beri kesan terhadap prestasi pengadil.

"Bila kita jarang praktikkan, tak mustahil kesilapan boleh berlaku dan akhirnya mengundang kritikan.

"Sebab itu, saya suka sarankan agar FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) memandang serius soal kemahiran ini agar bengkel-bengkel kerap dijalankan untuk pastikan pengadil kita sentiasa pada tahap terbaik pada bila-bila masa," katanya.

Terdahulu, mutu pengadilan kembali dipersoalkan dan kali ini ia 'muncul' pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu FC berdepan Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin lalu.

Ini selepas penyokong di laman media sosial mendakwa pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah gagal memperagakan aksi yang terbaik apabila 'terlepas' layangan kad yang sepatutnya diberikan susulan beberapa situasi yang berlaku.

Ditanya mengenai kemungkinan wujudnya sindrom ketakutan dikalangan pengadil khususnya babitkan aksi JDT, Sadek menolak dakwaan itu di mana setiap pengadil memiliki kredebiliti dan integriti yang tinggi sebelum diberikan kelayakan menjadi pengadil.

"Saya tak rasa wujud sindrom sebegitu. Macam saya jelaskan tadi, apabila kita tidak menekankan aspek peningkatan kemahiran, apa jua kesilapan boleh berlaku.

"Mungkin (kesilapan) pengadil ketika perlawanan antara Terengganu dan Johor itu boleh dielakkan jika kemahirannya sentiasa ditingkatkan," katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2021 @ 9:28pm
d