Bola Sepak

Saya kian bernafsu buru gol - Mintah

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pemenang Kasut Emas Liga Perdana musim ini, Jordan Mintah sedar dia bakal dikawal ketat pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Inskandar Puteri, malam esok.

Namun penyerang Terengganu FC (TFC) kelahiran Ghana yang pernah berguru bersama akademi bola sepak Marseille di Perancis hampir dua tahun tidak akan sesekali mengalah, sebaliknya bakal menggunakan segala pengalaman yang ada untuk untuk meranapkan skuad kendalian Benjamin Mora itu.

Tambah bekas penjaring terbanyak Liga Filipina musim 2019 dengan meledak 31 gol ketika menyarung jersi pasukan Kaya FC, dia tiada sebarang tekanan malah impiannya untuk memburu jaringan semakin berkobar-kobar.

"Saya sentiasa yakin dan tanpa sebarang tekanan berdepan JDT walaupun beraksi di depan penyokong mereka kerana bola sepak adalah 'passion' saya.

"Apa yang penting kami akan berjuang habis-habisan untuk memburu jaringan awal bagi menyuntik lagi semangat kami untuk menamatkan aksi dengan kemenangan.

"Namun saya jangkakan bakal dikawal ketat pertahanan lawan, bermain dengan pasukan yang bagus pastinya kemampuan mereka juga berada pada aras yang tinggi, tapi saya sudah bersedia dan percaya rakan sepasukan dapat membantu," katanya.

Untuk rekod Mintah sudah dua musim beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) dan mengumpul 25 jaringan musim ini termasuk 16 gol bersama pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFC II), empat gol ketika dipinjamkan bersama pasukan TFC dan lima gol setakat ini dalam aksi Piala Malaysia.

Mengulas lanjut, pemain berusia 26 tahun itu juga meramalkan cabaran bakal dihadapi pasukannya bukan sahaja di atas padang malah sokongan padu daripada peminat fanatik JDT.

"Tapi kami tidak bimbang sokongan padu daripada penyokong lawan, lagipun saya gembira jika ramai penyokong membanjiri stadium kerana suasananya cukup menarik, cuma kami harapkan aksi berkenaan diadili tanpa sebarang kesilapan dan telus," katanya yang meletakkan aksi itu nanti bagaikan pentas final.

Disiarkan pada: November 25, 2021 @ 3:12pm
d