Bola Sepak

Kelab Sepanyol puas hati prestasi Sikh Izhan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kelab La Liga Dua Sepanyol, CF Fuenlabrada tampak berpuas hati dengan prestasi dan permainan penjaga gol muda negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman sepanjang sesi ujian yang dijalankan sejak seminggu lalu.

Sikh Izhan, 19, yang diberi tempoh percubaan selama tujuh hari dilihat berjaya menambat hati barisan kejurulatihan skuad kedua CF Fuenlabrada yang mahu mengujinya lebih lama lagi di bumi Sepanyol itu.

Menurut Sikh, pihak kelab akan berbincang dengan Selangor FC untuk memberi kebenaran buatnya terus menjalani tempoh percubaan di kelab terbabit.

"Setakat ini saya berlatih bersama pasukan kedua Fuenlabrada. Komen daripada jurulatih sangat memberangsangkan, berkemungkinan mereka mahu saya lebih lama di sini dan hal ini mungkin perlu di bincangkan kepada Selangor dan ejen saya," katanya yang juga pemain Selangor FC.

Jelas pemain kelahiran Pulau Pinang itu, dia mengakui corak latihan di Eropah sedikit berbeza dan ia sedikit sebanyak menambah keyakinannya untuk menjadi penjaga gol yang serba lengkap.

"Syukur Alhamdullilah, peluang yang diberi untuk menjalani sesi latihan bersama CF Fuenlabrada saya sangat teruja dan ini adalah impian saya untuk bermain dan berlatih di Eropah.

"Saya rasa di sini berbeza sedikit di Malaysia, kerana di sini intensiti mereka agak laju dan saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di sini," katanya yang akan menamatkan tempoh percubaannya hujung minggu ini.

Sepanjang sesi latihan itu, Sikh Izhan diberi peluang berlatih bersama skuad utama dan skuad B-22, bermain dalam perlawanan persahabatan selain beberapa penilaian yang dilakukan kelab terbabit ke atasnya.

Jika terpilih, Sikh Izhan kemungkinan mencipta sejarah sebagai penjaga gol pertama Malaysia yang beraksi secara profesional di Eropah.

Untuk rekod, beberapa pemain tempatan khususnya di posisi penjaga gol belum pernah meraih kontrak di Eropah sebelum ini dengan kebanyakan beraksi di sekitar Asia seperti Hong Kong dan China.

Ketika ini, Luqman Hakim Shamsudin adalah penyerang muda pertama negara yang beraksi dengan kelab utama Eropah selepas mengikat kontrak selama lima musim bersama KV Kortrijk di Liga Belgium.

Disiarkan pada: November 26, 2021 @ 5:53pm
d