Bola Sepak

Kami akan 'ngap' KL City - Mora

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: "Kami akan makan rumput dan juga pihak lawan." Itu analogi kesungguhan pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora yang sanggup melakukan apa saja untuk memastikan juara Piala Malaysia edisi ke-100 menjadi milik mereka.

Malah, pengendali dari Mexico itu tidak akan memberi ruang dan peluang kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) untuk mengawal permainan malam esok apabila mahu menguasai setiap inci padang sekali gus memastikan pasukan lawan pulang hampa. Mora berkata, barisan anak buahnya berada pada tahap optimum dengan masing-masing tidak berhadapan masalah kecederaan sekali gus bersedia mempamerkan aksi terbaik di pentas final.

"Kami akan melakukan apa saja dengan menguasai keseluruhan padang kerana paling penting adalah pemain menjaringkan gol. Walaupun rekod pertemuan memihak kepada JDT, kita tidak mahu melihat perkara itu kerana Kuala Lumpur adalah pasukan yang semakin meningkat.

"Berbeza perlawanan di peringkat suku dan separuh akhir kerana masing-masing mempunyai taktikal dan barisan pemain berlainan namun perkara penting adalah memenangi perlawanan esok," katanya pada sidang media praperlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mora berkata, beliau tidak perlu membuktikan keupayaan dan kehebatannya dengan memenangi Piala Malaysia edisi seabad itu memandangkan mana-mana individu yang mengendalikan pasukan terbabit berupaya berbuat demikian. "Siapa saja yang dilantik sebagai pengendali JDT boleh menjadi juara kerana pasukan ini memiliki segalanya termasuklah barisan pemain yang hebat. Namun, watak sebenar yang membawa JDT ke tahap sekarang ini adalah pemiliknya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2021 @ 6:40pm
d