Bola Sepak

Mickey mahu beri terbaik buat Harimau Malaya

Oleh Syazwan Msar

Kelana Jaya: Angkat bendera putih atau menyerah kalah sebelum 'bertarung' tiada dalam kamus pemain Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim dalam usaha membantu skuad kebangsaan mencipta keputusan positif pada kejohanan Piala AFF yang akan bermula hujung minggu ini.

Walaupun menyedari skuad kendalian Tan Cheng Hoe menghadapi beberapa kekangan termasuk sesi latihan terlalu singkat dengan barisan pemain keletihan berikutan jadual liga dan Piala Malaysia padat namun pemain sayap Terengganu itu tetap optimis pasukan Harimau Malaya mampu tampil lebih meyakinkan.

Faisal berkata, dia akan memberikan persembahan terbaik untuk skuad kebangsaan termasuk bersedia mengikuti setiap perancangan yang bakal diterapkan oleh barisan kejurulatihan.

Katanya, sasaran untuk mara ke peringkat akhir kejohanan terbabit tidak akan memberi tekanan kepada barisan pemain malah mereka lebih bersemangat untuk mencapainya dengan tekad menumbangkan satu persatu lawan kelak.

"Saya sudah bersedia sekiranya diberi peluang membarisi kesebelasan utama dan percaya barisan kejurulatihan akan buat terbaik bagi mengharungi kejohanan itu.

"Semua sedia maklum, persediaan kali ini cukup singkat sekali gus sukar kepada pasukan untuk membuat persediaan awal.

"Apa yang pasti adalah semua pihak termasuk penyokong mahu lihat skuad kebangsaan pergi jauh sekali gus mengharapkan rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik kelak," katanya, pada sesi latihan pusat Fasa 2 skuad Harimau Malaya di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), semalam.

Kejuaraan Piala AFF dijadual berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari dengan Malaysia selaku naib juara edisi 2018, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Skuad negara akan memulakan kempen berdepan Kemboja, diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember).

Disiarkan pada: November 30, 2021 @ 12:37pm
d