Bola Sepak

City mahu lanjut kontrak Mahrez

Oleh Agensi

London: Manchester City meningkatkan usaha untuk melanjutkan kontrak Riyad Mahrez. Pemain sayap Algeria berusia 30 tahun itu mempunyai baki kontrak satu setengah tahun dengan gaji £160,000 (RM899,000) seminggu.

Mahrez gembira di Manchester dan berhasrat terus kekal di kelab itu selepas melangsungkan pertunangan pada musim panas dan media melaporkan dia tersenarai dalam kalangan pemain City yang akan dilanjutkan kontrak.

Mahrez kekal menjadi tonggak dalam perancangan Pep Guardiola walaupun sejak akhir-akhir ini kerap keluar masuk dalam pasukan.

Bekas penyerang Leicester berharga £60 juta (RM337j) yang berusia 31 tahun pada Februari depan akan beraksi di Piala Negara-Negara Afrika pada Januari.

City pula mahu memastikan terma kontrak terkini sebelum Mahrez terbang ke Cameroon untuk beraksi bersama negaranya Algeria.

Jika kontrak baharu tidak dapat dicapai, perpindahan mengejut mungkin berlaku pada musim panas depan dengan PSG antara kelab yang berminat mendapatkan pemain itu.

Sementara itu, City yakin Raheem Sterling akan menandatangani kontrak lanjutan. Pemain berusia 26 tahun itu masih lagi belum menurunkan tandatangannya dengan kontraknya hanya berbaki 18 bulan.

Tetapi prestasinya sejak akhir-akhir ini serta mendapat sokongan Guardiola menjadi kunci kepadanya untuk terus kekal bersama City manakala Barcelona dilaporkan berminat dengan bekas bintang Liverpool itu.

Disiarkan pada: November 30, 2021 @ 9:41pm
d