Bola Sepak

Kami sangat bernasib baik - Tuchel

Oleh AFP

Watford: Thomas Tuchel mengakui Chelsea sangat bernasib baik selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu terselamat daripada aksi hambar untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Watford.

Pasukan bimbingan Tuchel tidak berada pada tahap terbaik di Vicarage Road, namun Hakim Ziyech berjaya meledak gol kemenangan pada minit ke-72 untuk melebarkan rekod tanpa kalah 12 perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Mason Mount meletakkan Chelsea di depan melalui gol keempatnya musim ini pada minit ke-29 sebelum Emmanuel Dennis menyamakan kedudukan dua minit sebelum rehat.

Watford mampu untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata selepas memberi tekanan kepada Chelsea, dalam perlawanan yang terhenti selama 30 minit apabila pasukan perubatan terpaksa memberi bantuan kepada salah seorang penyokong akibat serangan jantung.

"Kami tidak pernah mempamerkan perwatakan yang betul. Kami berdepan masalah secara individu dan juga berpasukan. Kami tidak pernah berasa betul-betul kukuh.

"Kami kehilangan beberapa pemain. Kami juga mempunyai pemain yang keletihan. Kami berjaya mencuri tiga mata. Kami tidak menyentuh mengenai perkara itu," katanya.

Tuchel tidak ragu-ragu untuk menuding jari kepada dirinya dan pemain di atas kegagalan untuk menandingi intensiti dan tahap fizikal yang dipamerkan Watford.

"Ini bukan permainan sebenar kami. Kami jelas tidak bersedia untuk perlawanan ini. Saya mungkin terlepas pandang cara yang betul untuk membuatkan pasukan ini benar-benar bersedia.

"Kami tidak dapat mengawal tekanan, permainan hantaran jauh. Ia tidak dapat menjadi lebih baik selepas perlawanan tertangguh.

"Pada separuh masa kedua ia lebih baik sedikit. Kami menunjukkan mentaliti apa yang sepatutnya perlu dilakukan. Saya tidak mahu terlalu berkeras tapi saya mahu mengakui pemain Watford sangat kuat.

"Apa yang boleh kami lakukan adalah terus bertahan di atas padang dan fokus mengenai perkara yang mudah. Ia adalah kemenangan nasib," kata Tuchel.

Disiarkan pada: December 2, 2021 @ 9:17am
d