Bola Sepak

Terlalu yakin punca JDT derita

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Corak permainan terlalu yakin dipamerkan barisan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi faktor skuad berkenaan tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City (KL City) pada pentas akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, sebelum sepak mula perlawanan akhir berkenaan dia sudah menjangkakan skuad bimbingan Benjamin Mora akan menerima aib di hadapan ribuan penonton dan ternyata ramalan itu menjadi kenyataan.

Menurutnya, aksi barisan pemain JDT terutama pada babak pertama seolah mereka dibayangi kehebatan selaku juara Liga Super, imej hebat itu menyebabkan pemain memandang rendah lawan.

Katanya, dalam masa sama pemain KL City turun dengan keazaman begitu tinggi dan menebal untuk menewaskan lawan seterusnya menjulang Piala Malaysia selepas 32 tahun tidak berpeluang mendakap Piala Malaysia.

"Saya lihat permainan KL City lebih berdisplin dengan mengawal setiap ruang hingga menyebabkan pemain JDT hilang punca dan tak ada idea untuk menembusi kubu KL sepanjang babak pertama.

"Babak kedua KL City mengubah strategi dengan bermain secara mengasak setiap penjuru dan membuahkan hasil apabila memperolehi gol pada minit ke-65 dan gol kedua menyusul 10 minit kamudian," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, analisa yang dibuat mendapati strategi KL City sangat berkesan dengan bermain secara bertahan pada separuh masa pertama dan separuh masa kedua, mereka melakukan serangan balas dan corak bertahan sangat berkesan.

Jamal Nasir berkata, pada babak kedua pemain JDT seolah hilang punca dan melakukan banyak kesilapan hingga memudahkan KL City mendapat dua gol menarik. Katanya, dua gol KL City datangnya dari sebelah kanan JDT menerusi bola lintang dan ini menunjukkan pertahanan kanan pasukan itu lemah hingga membolehkan pemain lawan melakukan hantaran tersebut.

Menurutnya, percaturan jurulatih Bojan Hodak benar-benar berkesan apabila pantas menghidu kelemahan benteng pertahanan lawan.

''Bagaimanapun saya mengucapkan tahniah kepada pemain JDT kerana telah memberi saingan kepada KL City, cuma mungkin nasib tidak menyebelahi skuad Harimau Selatan itu.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati melihat corak permainan yang dipamerkan kedua pasukan di pentas akhir Piala Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2021 @ 10:16pm
d