Bola Sepak

Dua gol Lewandowski berjaya benam Dortmund

Oleh AFP

Berlin: Robert Lewandowski meledak dua kali ketika membantu Bayern Munich menewaskan Borussia Dortmund 3-2 dan melebarkan jurang ke atas pesaing terdekat itu kepada empat mata di puncak Bundesliga.

Julian Brandt dan Erling Haaland menjaringkan gol untuk Dortmund di Signal Iduna Park, tetapi Lewandowski, yang tewas kepada Lionel Messi untuk anugerah Ballon d'Or tahun ini, menjaringkan gol dan menyempurnakan penalti kemenangan selepas jaringan Kingsley Coman.

Pengendali Dortmund Marco Rose dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti ketika permainan berbaki 12 minit.

"Pada babak pertama kami sepatutnya mendahului dengan selesa berdasarkan corak permainan kami, saya pasti kami berhak mendapat kemenangan ini," kata penyerang Bayern Thomas Mueller.

Ia adalah kemenangan ketujuh berturut-turut Bayern ke atas Dortmund, termasuk lima kemenangan dalam aksi Bundesliga dan dua Piala Super Jerman.

Lewandowski kini sudah meledak 22 gol dalam 15 perlawanan menentang Dortmund, pasukan yang ditinggalkannya pada tahun 2014.

Disiarkan pada: December 5, 2021 @ 9:35am
d