Bola Sepak

Kena menang esok - Aidil

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tiga mata maksimum ke atas pasukan Kemboja adalah misi skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kumpulan B dalam saingan Piala AFF di Stadium Bishan, Singapura, petang esok.

Jelas ketua pasukan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, kemenangan itu bukan saja akan membuka langkah kanan buat skuad negara namun apa yang lebih penting menaikkan semangat dan motivasi pasukan untuk aksi berikutnya nanti.

"Bagi kami, tiga mata cukup penting untuk keyakinan pemain sebelum kami beraksi perlawanan seterusnya terutama apabila kita akan menentang Vietnam, Indonesia mahupun Laos.

"Perlawanan pertama adalah aksi turning point untuk kita beraksi lebih bersemangat dan beraksi di Piala AFF kali ini.

"Apa jadi sekali pun, kita tetap kena cari kemenangan dan tak boleh kalah. Saya harap kemenangan pada esok hari, dan InsyaAllah akan menjadikan kita lebih selesa untuk kita capai kemenangan seterusnya," katanya.

Mengulas mengenai persediaan pasukan, tonggak pertahanan tengah itu mengakui sedikit bimbang.

Ia kerana anak didik Tan Cheng Hoe itu tidak dapat menguji kekuatan disebabkan tiadanya perlawanan persahabatan berikutan kekangan Covid-19 dan saingan Piala Malaysia yang baru melabuhkan tirainya Selasa lalu.

Begitupun, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berpendapat motivasi pasukan tetap berada pada tahap terbaik meskipun persiapan pasukan dilihat serba kekurangan.

"Ini perasaan saya sendiri, mungkin saya salah atau mungkin betul. Tapi kalau fikir secara logiknya, sesebuah pasukan kalau nak pergi sesuatu pertandingan perlu ada persiapan yang bagus dan mesti ada satu perlawanan pemanas badan atau sebagainya.

"Saya harap kerisauan saya ini tidaklah jadi satu benda yang beban kepada pasukan. Macam saya cakap tadi, kalau boleh esok kita perlu cari keserasian dan rentak secepat mungkin yang boleh kerana kita tak boleh lambat.

"Kalau 15 ke 20 minit pertama kita dah dapat (rentak) Alhamdulillah dan boleh teruskan perlawanan dengan baik. Saya harap saya dan rakan-rakan dapat beri yang terbaik esok hari," katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2021 @ 3:27pm
d