Bola Sepak

Salah gesa Liverpool muktamad kontrak

Oleh Agensi

London: Mohamed Salah menggesa Liverpool menyelesaikan isu kontrak baharunya tetapi pada masa sama mengakui dia gembira dengan spekulasi mengaitkannya dengan Barcelona.

Rundingan masih berjalan antara Reds dan wakil Salah yang memasuki baki kontrak 18 bulan terakhir di Anfield dan ketua jurulatih baharu Barca, Xavi berkata dia amat berminat mendapatkan calon pemenang Kasut Emas musim ini suatu hari nanti.

Tetapi bintang Mesir itu berhasrat kekal di Liverpool yang menyaksikan dia meledak 144 gol dalam 223 penampilan selain menjuarai Liga Perdana, Liga Juara-Juara, Piala Super Uefa dan Piala Dunia Kelab Fifa.

Liverpool menyedari mereka perlu memberikan Salah kontrak terbesar dalam sejarah kelab sesuai dengan status pemain itu.

''Keputusan dalam tangan pengurusan dan mereka perlu selesaikan isu ini,'' kata Salah. ''Saya rasa tiada masalah tetapi kami perlu mencapai persetujuan dalam kontrak itu. Sekarang terpulang kepada mereka.''

Menurut Salah lagi: ''Saya dapat tahu Xavi berminat mendapatkan saya. Ia berita gembira apabila ada pasukan seperti Barcelona mahu mendapatkan khidmat saya tetapi saya gembira di Liverpool. Kita tunggu apa berlaku pada masa depan. Buat masa sekarang saya lebih memilih kekal di Liga Perdana kerana ia liga terkuat di dunia.''

Disiarkan pada: December 6, 2021 @ 12:56pm
d