Bola Sepak

Kalamullah sedia galas tugas benteng akhir

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ketiadaan penjaga gol utama negara, Khairulazhan Khalid yang didapati positif Covid-19 nyata menambah tekanan buat kem pasukan yang dilihat agak kritikal kekurangan pemain di posisi benteng terakhir itu.

Khairulazhan dan seorang lagi pemain sayap, Faizal Halim sah didapati positif Covid-19 dan kedua-dua kini diarahkan menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari, sekali gus menyaksikan terlepas sekurang-kurangnya tiga aksi peringkat Kumpulan B, Piala AFF yang sedang berlangsung di Singapura ketika ini.

Berbanding bahagian tengah yang dilihat masih mempunyai ramai pemain berkaliber untuk mengisi ketiadaan Faizal, posisi penjaga gol kini hanya tinggal dua pemain iaitu Khairul Fahmi Che Mat dan Kalamullah Al-Hafiz.

Situasi itu pastinya menggusarkan pasukan di mana sekiranya salah seorang penjaga gol mengalami kecederaan atau penggantungan, sudah tentu kem negara tidak mempunyai penjaga gol di bangku simpanan pasukan.

Difahamkan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kemungkinan memanggil muka baharu khususnya di posisi penjaga gol.

Bagaimanapun, Kalamullah yang juga pemain Petaling Jaya City FC (PJ City) bersedia menggalas tugas selaku penjaga gol di belakang Khairul Fahmi sekiranya diturunkan oleh Cheng Hoe.

Sambil mengakui agak gementar kerana ini adalah panggilan keduanya bersama skuad negara, dia akan cuba berikan aksi terbaik buat pasukan yang meletakkan sasaran mara ke pentas final.

"Untuk saya sendiri, ini kali kedua untuk saya dipanggil untuk skuad kebangsaan, boleh kata pengalaman baru bagi saya. Malah, ini juga adalah pertandingan pertama saya dengan pasukan, jadi ia memang sesuatu yang baru.

"Untuk saya tak boleh ambil ia (jika diberi peluang beraksi) sebagai tekanan, kalau diberi peluang saya kena fokus untuk tunjuk yang saya ada.

"Saya nak buktikan prestasi yang terbaik dan fokus betul-betul," katanya yang menunjukkan prestasi mengagumkan sepanjang bersama PJ City dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Untuk rekod, Kalamullah bersama pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dipanggil ke kem negara pada saat akhir bagi menggantikan dua pemain yang mengalami kecederaan.

Kalamullah menggantikan penjaga gol Perak FC, Azri Ghani yang mengalami kecederaan bahu, manakala Arif pula mengisi kekosongan Mohamadou Sumareh yang turut cedera selepas aksi final Piala Malaysia minggu lalu.

Disiarkan pada: December 6, 2021 @ 6:03pm
d