Bola Sepak

Walker dilayangkan kad merah, Leipzig benam Man City

Oleh AFP

Leipzig, Jerman: Kyle Walker dilayangkan kad merah pada penghujung babak permainan ketika Manchester City mengalami kekalahan mengejut 1-2 di RB Leipzig pagi ini, tetapi City masih mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara sebagai juara kumpulan.

Walker dibuang padang tujuh minit sebelum tamat kerana menendang penyerang Leipzig, Andre Silva, yang sebelum itu menggandakan jaringan tuan rumah selepas Dominik Szoboszlai meletakkan Leipzig di depan pada babak pertama.

"Hari ini kami menunjukkan yang dengan keberanian dan keazaman kami dapat menewaskan sesiapa saja," kata Szoboszlai.

Sebelum Walker dibuang padang, City merapatkan jurang menerusi Riyad Mahrez, yang akhirnya berjaya menewaskan penjaga gol Leipzig, Peter Gulacsi menerusi tandukan selepas beberapa kali dia menyelamatkan gawang tuan rumah.

Walker kini akan terlepas aksi pertama pusingan 16 terakhir kerana penggantungan.

"Buat masa ini, kami tidak tahu apa yang tidak kena. Kami harus berbincang dan analisa perkara ini," kata pertahanan kiri City, Oleksandr Zinchenko.

"Kemenangan peringkat kumpulan sebelum perlawanan tidak mempunyai kaitan dengan prestasi kami."

Walaupun PSG menang 4-1 ke atas Club Brugge, City tetap akan diundi sebagai juara Kumpulan A manakala Leipzig di tangga ketiga akan memasuki peringkat kalah mati Liga Europa.

"Kami sudah layak dengan satu perlawanan berbaki daripada kumpulan yang sukar jadi saya cukup berpuas hati dengan persembahan dalam setiap perlawanan (peringkat Eropah).

"Kami bergelut di babak pertama hari ini, tetapi secara keseluruhan kami bermain dengan baik di peringkat kumpulan," kata pengendali City, Pep Guardiola.

Disiarkan pada: December 8, 2021 @ 8:29am
d