Bola Sepak

Inter rampas tangga teratas

Oleh AFP

Milan: Inter Milan mengambil kesempatan selepas pesaing terdekatnya gagal mencatat kemenangan apabila melonjak ke tangga teratas Serie A dibantu dengan kejayaan menumpaskan Cagliari 4-0.

Penyandang juara itu berjaya memintas seteru setempat, AC Milan dengan kelebihan satu mata hasil mantap di San Siro.

Jaringan berganda Lautaro Martinez dan masing-masing satu gol menarik melalui Hakan Calhanoglu serta Alexis Sanchez melebarkan rekod kemenangan Inter dalam saingan domestik selepas sembilan perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan pasukan bimbingan Simone Inzaghi untuk mengenepikan Milan yang hanya seri di Udinese semalam.

Inter yang berjaya melakukan 15 percubaan tepat, menggegarkan palang dan terlepas penalti, juga empat mata mengatasi pendahulu sebelum ini Napoli selepas pesaing mereka itu kalah mengejut 0-1 kepada Empoli.

"Kami melihat banyak pasukan yang bagus bergelut selepas perlawanan di peringkat Eropah jadi kami tahu perlu lebih fokus.

"Pemain memberikan aksi sangat memberangsangkan bermula dari awal permainan. Kami berada di tangga teratas liga dan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas 11 tahun, ia sangat sukar untuk melakukan lebih baik," kata Inzaghi.

Cagliari berada di tangga kedua tercorot dan aksi buruk mereka, jelas sekali mendatangkan kemarahan pengurus, Walter Mazzarri yang meninggalkan temubual selepas perlawanan dengan hanya menjawab satu soalan saja.

Disiarkan pada: December 13, 2021 @ 9:24am
d