Bola Sepak

Demi maruah, mesti benam Indonesia

Oleh Firdaus Hashim

Singapura: Aksi menentang Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF bukan saja soal tiket ke separuh akhir, malah ia lebih daripada itu di mana maruah negara harus dipertahankan.

Jelas pemain tengah negara, R Kogileswaran, bagi memastikan maruah negara tidak tercalar di Stadium Nasional Singapura Ahad ini, dia dan rakan sepasukan berazam untuk bermati-matian bagi memburu tiga mata penuh dalam aksi itu.

"Pertama kita kena bangkit daripada kekalahan di tangan Vietnam dan pemain sudah mula fokus untuk perlawanan dengan Indonesia sebab kita ada tempoh persiapan untuk seminggu.

"Jadi memang pemain semua amat fokus dan bagi tumpuan untuk perlawanan itu di mana kita nak main mati-matian pada 19 haribulan ini," katanya yang meledak gol sulung di peringkat antarabangsa ketika aksi dengan Kemboja sebelum ini.

Kogileswaran, 23, atau lebih mesra dipanggil Kogi adalah antara pemain muda meningkat naik yang diberi peluang oleh Tan Cheng Hoe di kempen Piala AFF kali ini.

Dia yang memiliki pertalian darah dengan Titus James Palani yang beraksi di liga bawahan Perancis sejak belasan tahun sebenarnya adalah tonggak utama skuad bawah 16 tahun negara pada 2014 yang hampir mencipta sejarah layak ke Piala Dunia B-17 ketika itu.

Kebijaksanaannya dalam menempatkan diri pada situasi tertentu banyak menghasilkan jaringan pasukan disertainya termasuklah Petaling Jaya City dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Jelas Kogileswaran lagi, dia bertekad untuk terus membantu pasukan mendapatkan gol biarpun dia beraksi di posisi tengah.

"Itu (jaringkan gol di peringkat antarabangsa) memang impian saya untuk jaringkan gol untuk skuad kebangsaan dan sasaran saya terusnya untuk menjaringkan gol untuk aksi berikutnya untuk pasukan kebangsaan," katanya yang juga bekas pemain dari akademi Frenz United itu.

Disiarkan pada: December 14, 2021 @ 5:51pm
d