Bola Sepak

Hatrik Gnabry kukuhkan kedudukan Bayern

Oleh AFP

Berlin: Bayern Munich melebarkan jurang kepada sembilan mata di puncak liga selepas Serg Gnabry meledak hatrik dan Robert Lewandowski menyumbang dua gol ketika mereka mencatat kemenangan 5-0 ke atas Stuttgart.

Gnabry mencetak nama sebagai penjaring di kedua-dua separuh masa sebelum gawang pasukan lawan mudah dibocori dengan tiga jaringan berlaku dalam tempoh enam minit termasuk dua gol daripada Lewandowski.

Jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann memuji prestasi Gnabry sebagai pemain luar biasa kerana memainkan peranan dalam kelima-lima gol berkenaan termasuk melakukan dua hantaran kepada Lewandowski.

Penyerang antarabangsa Poland itu sekarang ini sudah meledak 18 gol dalam 16 perlawanan liga musim ini tatkala Bayern meraih kemenangan ke-10 berturut-turut Bundesliga.

"Bayern boleh memusnahkan mana-mana pasukan. Bukan sahaja di Jerman tapi juga di peringkat antarabangsa.

"Kami mendapat pengajaran selepas mereka mendahului 3-0, mereka mempunyai kualiti yang menakjubkan," kata Pengarah Sukan Stuttgart, Sven Mislintat.

Gergasi Bavaria itu berada pada landasan terbaik untuk meraih kejuaraan Bundesliga kali ke-10 berturut-turut namun pasukan di tangga kedua, Borussia Dortmund mampu merapatkan jurang apabila berdepan dengan Greuther Fuerth awal pagi esok.

Kecederaan dan masalah kesihatan sekali lagi menyaksikan Bayern menurunkan Jamal Musiala, 18, di posisi yang bukan miliknya, iaitu bahagian tengah bertahan bersama Marc Roca.

Mereka selepas itu kehilangan Kingsley Coman yang mengalami kecederaan pada setengah jam pertama perlawanan.

Disiarkan pada: December 15, 2021 @ 8:49am
d