Bola Sepak

Guardiola bangga persembahan pemainnya

Oleh AFP

London: Kemenangan liga kali ketujuh berturut-turut yang dicatatkan Manchester City selepas membelasah Leeds 7-0 jelas sekali memberi tekanan kepada pasukan tangga kedua, Liverpool dan Chelsea yang menghuni tempat ketiga.

"Kami bangga dengan cara mereka beraksi. Apabila anda mendapat keputusan seperti ini ia adalah disebabkan mereka sangat bagus secara individu.

"Kevin (De Bruyne) dalam permainan seperti ini apabila ia terbuka di bahagian atas dan bawah, dia mampu menjadi pemusnah. Dia boleh lakukan apa yang dia mahu. Dia sangat penting buat kami," kata Guardiola.

Ia adalah antara kekalahan terbesar pernah dicatatkan Leeds dalam sejarah mereka dan sangat mengejutkan pengendali, Marcelo Bielsa.

"Kami tidak pernah memberi persembahan seperti ini. Tiada justifikasi, saya perlu bertanggungjawab," katanya.

City mendahului pada minit kelapan apabila rembatan Phil Foden terkena Stuart Dallas yang cuba untuk mengeluarkan bola daripada melintasi garisan gol.

Jack Grealish menanduk masuk hantaran lintang Riyad Mahrez pada minit ke-13 untuk jaringan pertamanya sejak September.

De Bruyne meledak jaringan pertama sejak Oktober apabila mudah menyempurnakan hantaran Rodri pada minit ke-32.

Mahrez menambah gol keempat City pada minit ke-49 apabila rembatannya terkena Junior Firpo sebelum menerjah ke dalam jaring.

De Bruyne menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-62 apabila melepaskan rembatan dari jarak 18 meter menuju ke bahagian atas pintu gol lawan.

John Stones mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-74 dan Nathan Ake menanduk masuk gol ketujuh City tujuh minit kemudian.

Disiarkan pada: December 15, 2021 @ 9:32am
d