Bola Sepak

Demi Piala Dunia Rodrygo mahu berhijrah ke Liverpool

Oleh Agensi

Madrid: Rodrygo Goes dikatakan tertarik dengan idea untuk berhijrah ke Liverpool dan menimbang meninggalkan Real Madrid bagi beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut laporan media Sepanyol, Rodrygo menimbang untuk menyertai Liverpool bagi membolehkannya peluang disenaraikan dalam skuad Brazil bagi Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun, Real dijangka akan menolak tawaran daripada The Reds dan pasukan lain, dengan pemain muda itu dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang di bahagian serangan.

Rodrygo menyertai Real dari Santos FC pada Julai 2019 dan sejak itu menunjukkan kemajuan secara perlahan-lahan.

Walaupun pemain Brazil itu dianggap sebagai salah seorang penyerang muda terbaik di negaranya sebelum berpindah ke Santiago Bernabeu, dia bergelut untuk beraksi secara konsisten bersama Los Blancos.

Rodrygo bergelut pada separuh pertama musim 2021/22, apabila Vinicius Jr. dan Karim Benzema kerap mengisi bahagian serangan.

Pemain berusia 20 tahun itu hanya berada dalam kesebelasan utama sebanyak lapan kali daripada 23 perlawanan Real dengan meledak dua gol dan melakukan tiga hantaran menghasilkan jaringan.

Situasi yang dihadapinya berjaya menarik minat Liverpool dengan The Reds bersedia untuk mendapatkan pemain berkenaan.

Perancangan Liverpool itu dikatakan sangat tepat selepas Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino akan menjangkau usia 30 tahun sebelum musim 2022/23 bermula.

Disiarkan pada: December 15, 2021 @ 3:10pm
d