Bola Sepak

Syafiq pulang ke pangkuan Kedah?

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Penyerang tempatan Syafiq Ahmad kini hampir kembali ke Kedah selepas pengurusan Johor Darul Ta'zim (JDT) memaklumkan pihaknya sedang berbincang untuk meminjamkan Syafiq ke kelab lain baru-baru ini.

Perkembangan itu sekali gus membawa berita positif buat skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dilihat berusaha keras bagi mendapatkan sentuhan penyerang bahaya itu yang pernah beraksi pada 2015 hingga 2017 ketika di bawah kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Ho.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali, pihak KDA sudah mengadakan rundingan bagi mendapatkan Syafiq dari JDT secara pinjaman bagi mengukuhkan jentera serangan Kedah.

"KDA telah berusaha untuk kembali mendapatkan khidmat Syafiq Ahmad dan permintaan serta rundingan telah dilakukan sebelum ini.

"KDA juga telah mendapatkan pendirian daripada Syafiq sendiri bagi memastikan beliau mahu kembali beraksi di Kedah dan Alhamdulillah, beliau telah memberi reaksi yang diharapkan.

"Kini pelepasan terletak kepada pengurusan JDT bagi meluluskan pinjaman ini dan jika ianya mendapat kelulusan, Syafiq akan kembali menyarung jersi Hijau Kuning untuk musim depan." katanya.

Khamal juga turut mengakui perancangan yang Kedah sedang lalui ini akan menjadi lebih tersusun sekiranya dapat menggunakan penyerang tempatan seperti Syafiq yang sudah memiliki pengalaman bersama Kedah dan JDT.

"Selepas ketiadaan Kpah Sherman dan Kipre Tchethe yang tidak lagi bersama Kedah pada musim depan, sudah semestinya kita mahukan barisan pemain import dan juga tempatan yang lebih lengkap." katanya.

Dalam perkembangan yang sama Khamal juga memaklumkan pemain import baharu yang bakal diikat KDA FC pada musim depan sudah memiliki pengalaman berharga dalam kancah saingan Piala AFC yang mana ini penting bagi KDA FC untuk segera bersiap sedia menghadapi saingan antarabangsa itu pada musim depan.

"Kita mahu pemain gunakan pengalaman mereka yang telah beraksi di AFC untuk kita lebih cepat bersedia sebagai persiapan yang penting mengikut perancangan musim depan.

"Dalam lima import yang bakal menyertai KDA FC pada musim depan, dua antaranya sudah memiliki pengalaman beraksi di peringkat saingan tertinggi itu dan mereka juga akan menjadi rujukan buat pemain muda dan tempatan untuk mendapatkan ilmu yang diperlukan nanti," katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2021 @ 9:53pm
d