Bola Sepak

Tuchel pasrah dengan keputusan seri

Oleh AFP

London: Gagal menumpaskan pasukan yang sedang bergelut, Everton disebabkan masalah kecederaan dan kesihatan satu tamparan hebat buat Chelsea.

"Ia sukar untuk ditelan. Kami terlepas beberapa peluang terbaik bagi mendapat keputusan lebih baik pada separuh masa pertama dan di separuh masa kedua kami tidak mendapat rentak.

"Salah satu sebab utama sudah pasti peluang yang kami lepaskan. Kami sepatutnya mendapatkan dua atau tiga gol kerana bermain dengan penuh bersemangat.

"Kami tidak mempunyai pemain yang cukup di bangku simpanan. Kami hanya meletakkan baki pemain yang ada dan kehilangan tonggak utama serta berkualiti," kata Thomas Tuchel.

Selepas berada di puncak liga dalam tempoh beberapa minggu, pasukan bimbingan Tuchel yang sekarang ini di tangga ketiga dipisahkan empat mata dengan pendahulu, Manchester City.

Chelsea hanya menang dua daripada lima aksi terakhir liga tatkala mereka gagal menumpaskan City dan pasukan di tangga kedua, Liverpool sebelum ini.

Dengan lima perlawanan yang dijadualkan pada hujung minggu ini ditunda kerana kes Covid-19, dan empat lagi ditangguhkan minggu lalu, Tuchel enggan menyatakan sama ada dia merasakan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan dihentikan buat sementara waktu musim ini.

"Saya tidak mahu mencampuri urusan berkaitan politik. Jika mereka memutuskan untuk meneruskan aksi kami akan bermain.

"Kita sekarang ini bimbang mengenai Covid-19. Ia sebenarnya dekat dengan kami, empat pemain kami positif. Perlawanan lain ditangguhkan, manakala kami tidak," katanya.

Mereka yang kehilangan beberapa bintang seperti Romelu Lukaku, Timo Werner dan Callum Hudson Odoi selepas disahkan positif Covid-19 membuka jaringan pada minit ke-70 melalui Mason Mount.

Bagaimanapun, empat minit kemudian Everton berjaya menyamakan kedudukan melalui Jarrad Branthwaite.

Disiarkan pada: December 17, 2021 @ 9:09am
d