Bola Sepak

Awas aksi keras Indonesia - Faisal

Oleh Firdaus Hashim

Singapura: Terjahan keras yang disulami dengan aksi ala 'kung fu' bakal menguji jentera serangan skuad Harimau Malaya apabila berdepan Indonesia dalam Piala AFF di Stadium Nasional Singapura, Ahad ini.

Corak permainan keras itu dapat dilihat ketika Indonesia berjaya mengikat Vietnam dalam saingan Kumpulan B sebelum ini dan aksi serupa bakal dihadapi oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe nanti.

Ia diakui pemain sayap lincah negara, Faisal Halim yang mengingatkan agar rakan sepasukan sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa terjahan keras pertahanan skuad Garuda.

Jelas Faisal, dia sudah bersedia menghadapi situasi sukar itu di mana pengalaman bersaing dengan tonggak import dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) banyak mematangkan dirinya terutama apabila berdepan terjahan keras.

"Sudah tentu benda ini sukar bagi semua pemain dan kalau kita lihat di liga kita di Liga Super, saya bermain kesemua perlawanan tanpa rehat.

"Semua perlawanan sebagai kesebelasan utama dan pada saya memang tak ada masalah untuk saya menghadapi pemain-pemain Indonesia… sebab kita di Malaysia pun berlawan dengan import-import di bahagian pertahanan di liga kita.

"Pemain-pemain import di liga kita semuanya bagus-bagus, jadi apa yang saya boleh katakan kerjasama dalam pasukan amat penting.

"Kita hanya perlu fokus pada strategi perlawanan dan kita bagi yang terbaik dalam perlawanan. Insya Allah rezeki dan kejayaan pasti akan datang," katanya yang beraksi untuk Terengganu FC dalam Liga M.

Mengikut statistik aksi antara Indonesia dan Vietnam Rabu lalu, skuad Garuda yang dibimbing Shin Tae-yong merekodkan empat kad kuning berbanding skuad Naga Emas dengan hanya satu kad kuning.

Malah, hampir tiga pemain utama Vietnam diusung keluar sepanjang aksi yang menyaksikan Indonesia berjaya meraih satu mata selepas mengikat lawan tanpa jaringan.

Tiga mata penuh adalah misi utama buat skuad negara bagi memastikan tiket ke separuh akhir berada dalam genggaman pasukan yang diletakkan sasaran ke final buat kali kedua berturut-turut.

Edisi lalu, Malaysia terpaksa menggigit jari di perlawanan akhir selepas tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam.

Disiarkan pada: December 17, 2021 @ 5:54pm
d