Bola Sepak

Ikhsan yakin Singapura ada peluang juara

Oleh Firdaus Hashim

Singapura: Selepas kali terakhir menjulang Piala AFF pada 2012, skuad kebangsaan Singapura kini pada landasan terbaik untuk menamatkan kemarau sembilan tahun itu di bumi sendiri.

Penyerang muda Singapura, Ikhsan Fandi berkata, peluang untuk memenangi trofi itu buat kali kelima tetap ada dengan syarat semua pemain harus memberikan aksi yang terbaik dalam setiap perlawanan.

"Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Jika kita mempunyai mentaliti yang betul dan memberikan yang terbaik…itulah yang paling penting dan hasilnya akan menyusul," katanya yang juga anak kepada legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad.

Ikhsan, 22, yang beraksi di Eropah bersama kelab Norway, FK Jerv sudah meledak dua gol sepanjang kempen Piala AFF ini dan membantu negara layak ke separuh akhir.

Dianggap permata baharu Singapura, ramai peminat mula meletakkan harapan di bahu penyerang muda itu pada saingan kali ini.

Ditanya peluang pasukannya di separuh akhir nanti, dia percaya rakan sepasukan akan turun dengan motivasi tinggi untuk memburu kemenangan sekali gus mengintai slot ke pentas final.

"Saya fikir kami mempunyai peluang yang baik untuk melakukannya dengan baik kerana kami berada dalam prestasi yang baik.

"Kami mempunyai satu lagi perlawanan dengan Thailand (aksi terakhir Kumpulan A), yang akan menjadi perlawanan yang sukar. Tetapi di sini kita boleh belajar dan cuba memikirkan apa yang akan kita lakukan untuk separuh akhir nanti.

"Saya fikir ia (separuh akhir) akan menjadi satu cabaran yang sukar, tetapi saya fikir rakan sepasukan sudah bersedia untuk itu," katanya eksklusif kepada Arena Metro di sini.

Selain Ikhsan, seorang lagi anak Fandi Ahmad iaitu Irfan turut berada dalam skuad Singapura yang beraksi di posisi pertahanan serta bermain untuk kelab Thailand, BG Pathum United.

Disiarkan pada: December 18, 2021 @ 2:36pm
d