Bola Sepak

Ikhsan sedia beraksi di Liga M

Oleh Firdaus Hashim

Singapura: Penyerang muda Singapura, Ikhsan Fandi sedia mempertimbangkan tawaran beraksi di Liga Malaysia (Liga M) yang kini semakin kompetitif.

Kata anak kepada legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad itu, dia sentiasa mengikuti rapat perkembangan Liga M walaupun kini dirinya berkelana di Eropah bersama kelab Norway, FK Jerv.

Begitupun Ikhsan, 22, masih mahu mengutip seberapa banyak pengalaman di luar khususnya di Eropah bagi mematangkan permainannya dan sedia menimbangkan sebarang tawaran di Liga M pada masa depan.

"Liga Malaysia semakin kukuh, sudah pasti. Saya tidak tahu di mana saya melihat diri saya pada masa hadapan, tetapi ia boleh bermain di mana-mana sahaja, termasuk Malaysia," katanya kepada Arena Metro di sini.

Dia yang kini beraksi dalam kempen Piala AFF bersama pasukan Singapura dianggap permata baharu negara itu dan ramai peminat tempatan yang mula meletakkan harapan di bahunya.

Malah, ada yang mengharapkan dia mampu meneruskan legasi ayahnya yang cukup dikenali di rantau ini sebagai penyerang paling digeruni pada era hujung 80-an dan awal 90-an.

Selepas mengharungi empat aksi peringkat Kumpulan A Piala AFF, Ikhsan akan membawa pasukannya beraksi di separuh akhir dan berpeluang menambah jaringannya dalam kempen kali ini.

Untuk rekod, dia tidak ketinggalan meledak dua gol ketika bertemu Myanmar dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik dalam perlawanan pembukaan di laman sendiri itu.

"Sudah tentu bagus untuk berada dalam senarai penjaring tetapi perkara paling penting bagi pasukan adalah untuk mendapatkan tiga mata dan kemenangan.

"Saya gembira melakukan apa yang jurulatih mahukan dan saya sedia membantu pasukan untuk mendapat kemenangan," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2021 @ 12:48pm
d