Bola Sepak

Cheng Hoe kambing hitam?

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Ketika ramai yang menuding jari kepada Pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe atas kegagalan pasukan mencapai sasaran layak ke peringkat akhir Piala AFF, Bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Peter De Roo tampil mempertahankan jurulatih berkenaan yang dijadikan 'kambing hitam' atas keputusan buruk itu.

Malah De Roo turut mempersoalkan terhadap barisan Harimau Malaya yang dibawa ke kejohanan Piala AFF sama ada pilihan Cheng Hoe atau terpaksa memenuhi 'permintaan' pihak lain hingga membawa pemain ke Singapura seperti tangkap muat saja.

Beliau berkata, prestasi Cheng Hoe sejak empat tahun lalu boleh dikatakan cukup baik dengan mampu membawa perubahan kepada skuad Harimau Malaya hingga mencipta beberapa kejayaan.

Namun, pada perlawanan Piala AFF di Singapura seolah ada yang tidak kena apabila beberapa tonggak utama skuad Harimau Malaya tidak disenaraikan selain turut membawa hanya 24 pemain saja sekali gus cukup sukar untuk meraih kejayaan termasuk melangkah ke pusingan akhir.

"Sepanjang empat tahun lalu sejak beliau (Cheng Hoe) mengambil alih daripada Nelo Vingada sudah melaksanakan tanggungjawab dengan baik termasuk mengubah cara permainan.

"Pendapat saya, anda tidak akan menjadi jurulatih yang teruk dalam sekelip mata sekali gus mungkin ada beberapa keputusan yang dibuat untuk pasukan kebangsaan bukanlah kehendak Cheng Hoe.

"Saya kenal Cheng Hoe bagaimana cara beliau bekerja. Beliau berani melakukan beberapa perkara berbeza demi mendapatkan hasil yang terbaik untuk pasukan.

"Apa yang boleh saya katakan cukup kasihan kerana beliau dipersalahkan. Mana tonggak Harimau Malaya yang lain… kenapa mereka tidak bermain.. Persiapan pun agak terhad bagaimana mahu menyediakan pasukan yang mantap," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Skuad Harimau Malaya yang hadir di Singapura dengan sasaran layak ke final terpaksa akur apabila gagal melepasi peringkat Kumpulan B selepas hanya memungut enam mata daripada empat aksi. Kekalahan 1-4 di tangan Indonesia kelmarin nyata merentap jiwa seluruh penyokong bola sepak negara yang kecewa dengan keputusan itu.

Selain itu, beliau juga berharap pihak berkaitan dapat memberi ruang dan peluang secukupnya kepada jurulatih untuk memilih pemain yang diinginkan dalam usaha membentuk pasukan yang mantap.

"Lantiklah jurulatih baharu atau luar negara namun jika tidak mendapat kerjasama daripada pihak berkaitan untuk membenarkan pemain mereka beraksi untuk pasukan kebangsaan sudah pastinya tidak akan ada perubahan.

"Oleh itu, sebelum memecat atau menyalahkan jurulatih, lihat dahulu apa yang dimiliki (pemain) oleh pengendali itu untuk mempersiapkan pasukan.

"Hal ini kerana tiada jurulatih mahu membawa pemain kurang minit permainan atau cedera selain menggugurkan tonggak utama mewakili pasukan," katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2021 @ 8:13pm
d