Bola Sepak

Pemain muda Kedah berada di landasan tepat

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini mendapat suntikan lebih bertenaga apabila lima pemain muda yang disenaraikan baru-baru ini diyakini dapat meningkatkan lagi keupayaan skuad Hijau Kuning pada aksi Liga Malaysia dan juga saingan Piala AFC pada musim depan.

'Ubi muda' berkenaan terdiri daripada Afeeq Iqmal di ruang serangan, Fikhri Zulkiflee di bahagian tengah, serta tiga pemain pertahanan Kamil Akmal, Heshamudin Ahmad dan Fareez Amirul Fadzil.

Penyertaan lima pemain bersama skuad Hijau Kuning yang sebelum ini beraksi bersama skuad Piala Presiden Kedah ini diyakini mampu menjadi pelapis yang Kedah perlukan dan persiapan sebagai tonggak utama untuk masa depan.

Menurut Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak, penyertaan mereka adalah peluang terbaik dalam perancangan KDA FC yang memberi peluang bakat muda bersaing bagi membuktikan kemampuan mereka dalam Liga Malaysia.

"Mereka sudah berada di landasan yang tepat, namun mereka perlu buktikan kemampuan yang mereka ada itu seiring dengan cita-cita yang mereka idamkan.

"Saya sudah melihat kesungguhan mereka sejak musim lalu dan saya yakin mereka akan berusaha gigih bersama beberapa pemain muda lain yang sudah bersama pasukan pada musim ini demi mencari kejayaan untuk Kedah pada musim depan.

"Apa yang mereka perlukan adalah bersedia meningkatkan tahap kecergasan yang tinggi dan tampil dengan mentaliti yang tepat untuk memajukan diri dalam karier bola sepak." katanya.

Aidil juga berkata dalam mengejar impian menjadi pemain utama, tiada jalan mudah selain perlu berkerja keras, tekun dalam usaha, serta fokus pada latihan yang akan dijalankan disamping menunjukkan semangat bersaing dalam pasukan.

"Mereka perlu tingkatkan tahap kecergasan ke tahap terbaik dan bersedia untuk bersaing bagi memastikan tempat dalam pasukan sepertimana yang pernah dilalui oleh dua pemain muda sebelum ini iaitu Fadzrul Daniel dan Fayadh Zulkifli." katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2021 @ 1:16pm
d