Bola Sepak

Anak Fandi Ahmad penyelamat Singapura

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Anak legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad muncul penyelamat buat pasukan Singapura selepas berjaya mengikat Indonesia 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Singapura.

Ikhsan Fandi yang kini meneruskan legasi bapanya bijak melepaskan diri daripada perangkap ofsaid pada minit ke-70 untuk memadamkan gol awal skuad Garuda di babak pertama.

Indonesia yang menewaskan skuad Harimau Malaya 1-4 dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan B pada Ahad lalu, terlebih dulu berada di depan hasil jaringan Witan Sulaiman di minit ke-28.

Begitupun, Singapura tidak berputus asa dan akhirnya Ikhsan berjaya mengikat kedudukan 1-1.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam aksi separuh akhir kedua Sabtu ini bagi menentukan tiket ke final.

Satu lagi aksi separuh akhir pertama akan berlangsung esok membabitkan juara bertahan, Vietnam berdepan juara lima kali, Thailand.

Disiarkan pada: December 23, 2021 @ 12:50am
d