Bola Sepak

Jangan pilih pemain main tangkap muat

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kegagalan di Piala AFF seharusnya membawa 1,000 satu pengajaran buat kem negara khususnya dari sudut pemilihan pemain yang dilihat seperti tangkap muat dan tidak mengikut komposisi sebenar di setiap bahagian.

Malah, pemilihan pemain yang di bawa ke Singapura untuk kempen itu juga tidak berada dalam prestasi terbaik bersama kelab sama ada dalam saingan Liga Malaysia ataupun di luar, dengan separuh anggota skuad lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

Mungkin di mata barisan kejurulatihan menganggap faktor pengalaman adalah kriteria utama, namun kekalahan 1-4 di tangan Indonesia yang hanya mengguanakan kudrat pemain di bawah usia 23 tahun harus diteliti semula.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli, pengurusan pasukan kebangsaan terutamanya jurulatih, Tan Cheng Hoe perlu mengubah sistem pemilihannya agar lebih menyeluruh dengan meletakkan asas minit permainan sebagai keutamaan.

"Pertama, pemilihan pemain perlu dibuat mengikut prestasi dalam liga kerana jika pemain yang jarang beraksi (bersama kelab) tetapi dipanggil ke skuad kebangsaan, jelas menimbulkan apa sebenarnya justifikasi dan kriteria pemilihan.

"Kriteria pemilihan kena buat dengan betul. Kalau nak ambil pemain lebih berpengalaman, perlu ada penjelasan kenapa dan sebab apa walaupun dia mungkin kurang minit permainan.

"Kita tak mahu ada isu kecergasan, disebabkan jarang beraksi sudah tentu kurang cergas, dan kita boleh nampak masa pasukan lawan Indonesia. Bayangkan pemain lebih berusia nak jumpa pemain jauh lebih muda atau kita cakap kereta kancil lama nak lumba dengan Myvi baharu, memang tak boleh lah kan.

"Jadi perlu adanya kriteria jelas tentang pemilihan pasukan supaya kita lebih jelas akan objektif dan sasaran kita.

"Keduanya, wujudkan Jawatankuasa Pemilihan Pemain yang dianggotai bekas pemain. Jadi jurulatih dan bekas pemain boleh berbincang melihat pemain yang difikirkan sesuai untuk pasukan," katanya ketika dihubungi.

Menerusi tinjauan Arena Metro, apa yang dikongsikan Pekan yang juga Ketua Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ada benarnya, di mana barisan 24 pemain yang dipilih tidak berada pada presrasi terbaik.

Misalnya Shahrel Fikri, Akhyar Rashid, Dominic Tan dan beberapa lagi adalah pemain yang jarang diturunkan bersama kelab masing-masing, dan apabila diberikan peluang beraksi ternyata mereka gagal membawa impak diharapkan.

Sebaliknya, satu kerugian yang amat besar apabila sekurang-kurangnya empat pemain baharu diketepikan sedangkan mereka cukup bertenaga dalam saingan Liga Malaysia.

Empat pemain yang sebenarnya boleh mengatasi kepincangan dalam skuad utama adalah tonggak Kuala Lumpur City (KL City) iaitu Ryan Lambert dan Zhafri Yahya yang sebenarnya boleh mengisi kelompongan di bahagian tengah negara.

Disamping itu, seorang lagi pemain KL City, Daniel Ting dilihat boleh digandingkan dengan Dion Cools di pertahanan tengah, sambil diapit Corbin Ong dan Matthew Davies yang turut digugurkan ekoran alasan kepenatan selepas mengharungi jadual padat bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Seorang lagi calon pemain tengah bertahan yang layak dipertimbangkan dalam skuad utama adalah tonggak tengah JDT, Afiq Fazail.

Begitupun bagi memberi keseimbangan dalam pasukan dengan adunan pemain muda dan senior, tidak salah kiranya Amri Yahyah disenaraikan semula berdasarkan kepada prestasi mantapnya bersama Sabah FC musim ini.

Walaupun usianya sudah menjangkau 40 tahun, namun dia masih lincah dan cukup bijak apabila berada dalam kotak penalti yang boleh menghadirkan elemen kejutan dengan gol-gol yang tidak disangka.

Disiarkan pada: December 23, 2021 @ 1:03am
d