Bola Sepak

Persiapan singkat punca kegagalan Harimau Malaya

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Bekas penyerang kebangsaan era 70- an dan 80-an, Ramli Junit menyifatkan persefahaman lemah menjadi antara faktor Harimau Malaya gagal mara ke separuh akhir Piala AFF di Singapura.

Baginya, situasi berkenaan didorong tempoh latihan yang singkat dan tidak mencukupi bagi skuad negara menghadapi kejohanan besar berkenaan.

Katanya, pemain yang dipilih masih memiliki ramuan juara namun persefahaman mereka belum cukup `masak' untuk bersaing tambahan pula skuad berkenaan tidak didedahkan dengan lebih banyak aksi persahabatan.

Menurutnya, lebih banyak minit perlawanan bersama lebih baik dalam membentuk elemen keserasian dan pembentukan taktikal yang ingin diterapkan.

"Kita tidak boleh salahkan pemain semata-mata kerana mereka antara yang terbaik dalam Liga Malaysia. Namun malangnya tempoh bersama yang pendek menyebabkan faktor kemantapan ketika bertahan dan menyerang tidak dapat dikuasai sepenuhnya.

"Akhirnya lawan mengutip kelemahan yang ada untuk memerangkap pasukan seperti aksi tewas 1-4 kepada Indonesia walaupun Harimau Malaya berjaya mendahului lawan," katanya.

Malah kehadiran Dion Cools yang memiliki tahap permainan yang amat tinggi juga tidak mampu untuk menyokong kemenangan pasukan negara dengan gandingan yang hanya dibentuk dalam perlawanan sebenar bukan semasa latihan yang lebih panjang.

Justeru, dia mengharapkan Harimau Malaya diberi tempoh sekurang -kurangnya sebulan menjalani latihan bersama dan mengatur lebih banyak perlawanan persahabatan dalam mengenal pasti kelemahan setiap pemain di setiap posisi menjelang aksi penting.

Ramli juga melihat faktor kekurangan stamina juga antara kelemahan yang masih ada susulan persiapan ala kadar namun mahu pulangan lumayan dalam kejohanan berkenaan.

Beliau berkata, jadual latihan yang pendek menyebabkan kekuatan fizikal dan mental juga terjejas selain mendorong faktor kecederaan dalam kalangan pemain.

Dalam masa sama, dia tidak menyalahkan program naturalisasi kerana pemain yang dipilih ada wibawa sendiri, malah jika pemain terbaik dunia sekali pun bersama pasukan negara mereka tidak dapat menyerap keserasian jika hanya bersama dalam pasukan dalam tempoh yang tidak mencukupi.

Disiarkan pada: December 23, 2021 @ 7:36pm
d